Kita selalu anggap, hubungan antara lelaki dan wanita itu biarlah dimulakan oleh lelaki. Wanita malu nak memulakan salam perkenalan. Jadi, kalau suka pada seseorang lelaki itu pun, wanita akan pendam. Dengan harapan angin lalu akan membawakan perkhabaran bahawa kamu menyukai dia. Begitukah?

Wanita lebih bersikap menunggu kerana tidak mahu dikatakan terhegeh-hegeh mengharapkan hubungan dengan lelaki. Apatah lagi dengan adanya perumpamaan seperti perigi mencari timba. Hal ini mengekang wanita untuk bertindak memulakan hubungan silaturahim yang boleh membawa kepada pernikahan.

PANDANGAN NEGATIF
Sebenarnya peribahasa perigi cari timba ialah situasi masyarakat Melayu yang menghalang perhubungan yang baik berlangsung. Masyarakat Melayu beranggapan perhubungan yang mendorong ke arah pernikahan hendaklah dimulakan oleh pihak lelaki manakala pihak wanita lebih kepada menerima salam yang dihulur.

Wanita yang berani menghulur salam perkenalan kepada lelaki dianggap wanita murahan. Hal ini tidak benar dan perlu diperbetulkan. Niat untuk berkahwin ada pada lelaki dan wanita. Jadi tidak salah jika wanita yang memulakan perkenalan. Ini kerana da lelaki yang kurang berkeyakinan untuk memulakan perkenalan. Apatah lagi jika wanita itu lebih tinggi darjatnya.

HANTARKAN WAKIL
Justeru salahkah jika wanita yang menghulur salam perkenalan terlebih dahulu?

Dalam Islam, tiada menetapkan siapakah yang perlu memulakan salam perkenalan. Baik lelaki memahupun wanita, jika berkeinginan untuk berkahwin, boleh sahaja suarakannya kepada pihak yang berkenaan.

Namun disebabkan wanita tebal rasa malunya, maka seelok-eloknya hantarlah pihak ketiga atau wakil untuk menyuarakan isi hati itu. Ini menunjukkan tidak salah jika wanita itu sudah berjumpa dengan lelaki yang dia rasakan layak untuk memimpinnya sebagai isteri, maka suarakanlah isi hati itu mengikut saluran yang betul.

Menghantar wakil lebih baik berbanding wanita itu sendiri yang menyampaikan salam perkenalan. Ini kerana jika salam perkenalan itu ditolak, wanita itu lebih berasa malu.

Kita lihat sejarah pada zaman Nabi Muhamad s.a.w dahulu. Baginda memiliki ciri-ciri seorang lelaki yang hebat lantas menarik hati Siti Khadijah r.a. Wanita agung ini menyuarakan keinginan untuk bersuamikan Nabi Muhamad melalui bapa saudaranya untuk merisik Nabi Muhamad.

Komen anda