Seseorang individu mudah ditipu jika dia merupakan jenis manusia yang mudah terpedaya dengan janji. Janji memang mudah diucapkan. Maklumlah, lidah tidak bertulang. Boleh cakap apa sahaja.

Dalam hubungan antara lelaki dan wanita, adakala kita ingin berjanji demi menyedapkan hati atau untuk menegaskan keinginan kita. Justeru, ada pula pihak yang suka menabur janji untuk mempermainkan perasaan orang lain.

Jika sekali mungkir janji bolehlah dimaafkan. Namun jika berkali-kali janji yang diucapkan dimungkiri, memang boleh mendatangkan rasa marah. Dalam percintaan, memang mudah benar hendak mengungkapkan janji. Berjanji bulan dan bintang namun sebenarnya semuanya masih melata di bumi.

Memang ada yang bersungguh-sungguh hendak menunaikan janji. Namun jangan dilupa, ada juga yang hanya bermulut manis menabur janji.

Memang indah mengenangkan si dia telah berjanji itu dan ini. Maklumlah sedang bercinta memang semuanya indah belaka. Sesekali tolehlah ke belakang dan jadikan pengalaman orang lain yang terpesona dengan janji.

BUAT PENILAIAN

Jika si dia berjanji hendak menikahi anda dan mulai pandai memegang tangan anda kala bertemu, lupakanlah si dia. Nampak sangat janji menikahi anda itu hanya di mulut sahaja. Jika benar hendak bernikah, dia tidak anda berani menyentuh anda selagi anda masih belum sah menjadi miliknya.

Penilaian terhadap janji itu dibuat dengan corak tindakannya. Jika dia berjanji hendak menikahi anda dan kemudian si dia giat bekerja mengumpul wang, bertemu ibu bapa anda dan berubah menjadi lebih bertanggungjawab, itu maknanya janji si dia boleh dipercayai.

JANGAN MUDAH PERCAYA

Mempercayai bulat-bulat janji seseorang kekasih umpama menyerahkan tengkuk kepada harimau lapar. Mulut manis, lidah tidak bertulang. Anda perlu anda sedikit rasa sangsi supaya tidak mudah tertipu.

Inilah yang selalu berlaku kepada pasangan kekasih terutamanya yang dikenali melalui laman sosial. Tanpa kenal rupa, tanpa kenal orangnya, mudah sangat percaya janji yang ditaburi dengan susunan ayat manis.

Mudah cair, mudah percaya, mudah tunduk kepada pujuk rayu menjadikan anda terpedaya dengan janji kosong yang tidak membawa makna apa-apa. Sudahlah ditipu dengan janji, malah ada kes yang menunjukkan si dia menipu wang ringgit pula.

Ingatlah wahai anda di luar sana. Janji sangat mudah untuk diungkapkan namun untuk mengotakan janji sebenarnya menuntut seseorang itu mempunyai tanggungjawab. Orang yang mengotakan janji adalah insan mulia.

Sebab itulah ada pepatah berbunyi lembu dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Betapa besarnya erti kata janji sehingga manusia yang mungkir janji digelar sebagai munafik.

Komen anda