Sedih, tapi ini memang realiti yang sering berlaku di kalangan anak muda masa kini. Kadang-kadang cinta yang mulanya bersifat “Cinta Islamik”; saling mengingatkan tentang solat, tolong telefon kejutkan solat Subuh, hadiahkan tudung sedikit labuh dan sebagainya, kemudian selalu habiskan masa berjam-jam di telefon, kemudian selalu keluar bersama. Awalnya mungkin hanya tersentuh, tapi lama-lama jadi berpegangan tangan. Bila dah biasa bersentuhan, dan hati rasa seronok bercinta, apa yang dipinta si kekasih mesti nak dituruti. Kalau dia nak bersama, walaupun diri tak rela, tapi sebab sayang, mestilah buktikan. Kan?

Bila dah telanjur, ada yang teruskan bercinta sampai berkahwin. Tapi ada pula yang kurang benasib baik bila si lelaki mula jauhkan diri. Bila dah jadi begini, siapa yang nak tanggungjawab?

Bermulalah episod luka si gadis; baru terkenangkan kebodohan diri sendiri dek rasa “cinta” yang melampau. Kalau boleh diputarkan masa, memang tak akan bertegur pun dengan si teruna dari mula. Biarlah tak ada kawan, tak ada teman lelaki, asalkan dapat terpelihara maruah diri.

Tapi sayang, nasi sudah menjadi bubur. Dunia yang dulunya dirasakan indah dengan kasih sayang dan cinta yang memuncak, sekarang terasa gelap! Bermacam-macam yang bermain di fikiran. Kesiannya mak ayah aku, mesti raca kecewa kalau mereka tahu. Kotornya aku ni, mustahil nak bersihkan lagi. Ada ke orang nak kat perempuan macam aku ni? Macam mana nak teruskan hidup lepas ni? Mana lelaki tak guna ni? Takkan dah rasa, nak lepas macam tu saja? Dulu janji manis sehidup semati, sekarang kena lah tanggungjawab!

Bak kata pepatah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. Kalau terlajak perbuatan? Hmmm…

Walhal sebenarnya dalam hukum Islam, tiada nas syarak sama ada ayat al-Quran atau hadis Rasulullah SAW atau fatwa ulama, malah tiada juga peruntukan undang-undang yang menyatakan secara sahih bahawa pasangan yang telah berzina sebelum nikah perlu berkahwin. Dalam ayat mudah, tidak wajib berkahwin jika telah terlanjur. Maksudnya, pasangan yang telah terlanjur boleh untuk tidak berkahwin dan boleh juga untuk berkahwin.

Maksudnya juga, tidak salah sekiranya si lelaki enggan berkahwin dengan si gadis atau si wanita yang ditidurinya, lebih-lebih lagi jika hubungan seksual antara mereka berlaku secara rela / suka sama suka. Perempuan yang merelakan dirinya “disentuh” tidak ada sebarang hak yang boleh dituntut, baik menggunakan hukum syarak atau undang-undang. Dalam Islam, yang ada hanyalah hukuman rejam sampai mati atau disebat 100 rotan. Menurut undang-undang pula, dikenakan denda maksima RM5,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Amalan Tutup Malu

Realitinya, tindakan berkahwin selepas berzina adalah amalan masyarakat bagi menutup malu keluarga. Malah jika berlaku tangkapan oleh pihak Penguatkuasa Agama, biasanya pesalah akan dinasihatkan oleh peguam pembela atau bertindak sendiri dengan mengambil keputusan untuk berkahwin sebagai satu alasan sesungguhnya mereka yang disabitkan bersalah ini telah benar-benar insaf bagi mengurangkan hukuman yang bakal dikenakan. Syukurlah jika benar-benar insaf dan bertaubat namun ada juga kes, perkahwinan sekadar mengaburi mata Yang Arif Tuan Hakim.

Jika lahir anak luar nikah daripada perkahwinan selepas zina ini, undang-undang Malaysia akan membenarkan si anak dibin atau dibintikan dengan nama ayah seperti dalam sijil pernikahan jika anak itu lahir selepas enam bulan dari tarikh pernikahan.

Tetapi, fakta utama yang perlu difahami, walau nama si ayah diterima dalam daftar surat lahir tetapi sememangnya anda sebagai ibu dan bapa memaklumi si anak tadi adalah anak yang terhasil daripada hubungan sebelum nikah, si anak tetap tidak boleh dibin atau dibntikan kepada si ayah tersebut dalam urusan nikah anak itu pula satu masa nanti.

Si anak hanya boleh dibin atau dibintikan kepada Abdulllah. Si lelaki yang membuntingkan juga tidak wajib menanggung nafkah si anak malah andai tidak berlaku perkahwinan antara si lelaki dengan si ibu, si anak jika perempuan, halal berkahwin dengan si lelaki yang menyebabkan dia lahir ke dunia kerana Islam tidak mengiktirafkan si lelaki sebagai ayahnya.

Hukuman Menganiayai Wanita?

Senangnya lelaki tu lepas, kan? Jika itu yang bermain di fikiran anda, beristighfar dan bertaubatlah kerana Islam tidak zalim sebaliknya anda si pelaku jenayah yang menzalimi diri anda sendiri.

Firman Allah SWT dalam al-Isra’ ayat 32 bermaksud: “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang hina.”

Ayat ini bukan sahaja melarang melakukan zina tetapi melarang agar tidak mendekati perkara-perkara yang boleh menjebakkan kita kepada zina. Sebabnya kesan daripada zina ini amat besar dan apabila anda telah termasuk perangkapnya, natijah yang berlaku dan anda perlu terima adalah pilihan anda sendiri, bukan kesilapan hukum lagi.

Kalau anda mahu lelaki itu bertanggungjawab dengan menikahi anda, kenapa anda tak perlu bertanggungjawab ke atas diri sendiri dengan menatapi dosa-dosa sendiri? Memang si lelaki yang meniduri si gadis, tapi kan si gadis kan juga merelakan perbuatan si lelaki, walaupun ada akal dan hati sendiri yang tahu akan dosa dan neraka?

Jadi buat para gadis dan wanita, jangan sesekali bertindak menyerah diri anda sebelum akad nikah. Natijah besar menanti anda untuk perkara yang anda rasakan sebagai nikmat yang hanya seketika.

Komen anda