Perkahwinan merupakan sesuatu yang indah, suci, dan bahagia. Perkahwinan juga berkenaan dengan penyatuan dua jiwa menjadi satu. Memiliki suami idaman merupakan impian semua wanita di dunia ini. Bohonglah seseorang itu jika tidak mahu menikmati alam perkahwinan bersama si dia yang tersayang.

Suami idaman sudah pun dimiliki lantas muncullah satu semangat pada si isteri untuk menjadi yang terbaik di mata suami tercinta. Namun, panas yang disangka sampai ke petang, rupanya hujan turun di tengah hari. Sedang asyik merasa nikmat kehidupan berumah tangga, mata pula tidak tertahan-tahan oleh debu yang menerpa masuk ketika membersihkan habuk. Hati pula sedih dan sayu melihat tangan yang menjadi kasar dan keras setelah asyik menyental kotoran pakaian dengan sabun.

Mata bertambah sakit tatkala melihat masih banyak pinggan mangkuk yang belum dicuci, periuk kuali yang hitam pekat belum digosok, dan semut yang sudah pun ‘berenang-renang’ di dalam cawan. Sambil mencuci lantai, otak masih ligat mengenangkan kain baju yang masih terendam belum dicuci, yang sudah dicuci pula tiada siapa yang mahu menjemurkannya dan baju di ampaian yang sudah kering tiada juga yang menawarkan diri untuk melipat dan menggosok.

Bagi mereka yang sudah beranak-pinak, anak yang masih kecil pula pantas sahaja mengotorkan diri dengan makanan, minuman, dan adakalanya bergaduh sesama mereka. Si suami yang pulang pada petang hari mahu melihat rumah dalam keadaan bersih dan rapi, makanan sudah terhidang di atas meja, dan mahu isteri kelihatan cantik ketika menyambut si suami di depan pintu.

Apabila mengenangkan perkara ini, pastinya semua wanita berasa gerun untuk berkahwin. Lalu, menangislah si isteri seorang diri mengenangkan nasib dirinya. Kerja rumah bertambah banyak tapi si suami tidak memberikan pertolongan. Kadang-kadang, si isteri berasa sakit hati apabila melihat si suami bergelak ketawa ketika menonton televisyen, goyang kaki sambil membaca akhbar, ataupun terlebih dahulu masuk ke bilik tidur.

Perkara ini sebenarnya sudah lama menjadi perdebatan dan perbincangan sama ada dalam kalangan alim ulama mahupun orang awam seperti kita ini. Dalam agama Islam sendiri pun tidak dinyatakan tugas siapa sebenarnya mengenai kerja-kerja rumah ini cuma bukan tanggungjawab isteri. Namun, jangan pula selepas ini kita sebagai isteri melawan kata suami apabila disuruh membuat kerja rumah kerana itu sudah pun melanggar hukum agama Islam.

Berdasarkan beberapa ulasan serta pandangan daripada web kemusykilan agama yang membincangkan perkara ini, tugasan di rumah tidak diwajibkan ke atas isteri namun tidak pula diwajibkan ke atas suami. Jika dihayati dari segi bahasa, wajib bermaksud jatuh manakala dari segi maknanya pula ialah perkara yang telah ditetapkan oleh syarak perlu dilaksanakan dan jika tidak dilaksanakan, akan berdosa. Oleh yang demikian, jika kita dalami maksud itu sedalam-dalamnya, tidak berdosalah si isteri kalau tidak melakukan kerja-kerja rumah itu dan boleh dilakukan oleh suami atau orang gaji. Namun begitu, perkara-perkara wajib yang isteri perlu patuhi seperti melayan kehendak suami dan tidak boleh keluar tanpa izinnya, adalah berdosa besar jika dilanggar.

Oleh itu, janganlah pula kita asyik bergaduh untuk menentukan siapa sebenarnya yang harus membuat kerja rumah. Jika kita bergaduh\ mengenai hal yang remeh-temeh, pastinya rumah tangga yang dibina akan dilanda badai. Jadi, tidak ada masalah dalam menentukan siapa yang harus buat kerja rumah. Kalau si suami dan si isteri sama-sama bekerja, buatlah satu perbincangan yang baik bagi menyelesaikan hal ini. Kadang-kadang, ada beberapa kerja rumah yang memang isteri tidak mampu untuk lakukan, jadi si suami perlulah ambil tanggungjawab tersebut untuk membantu isteri.

Tidak salah rasanya jika si suami membantu isteri dalam melakukan kerja rumah. Bagi isteri pula, ucapkanlah terima kasih dan berilah ciuman atau layanan istimewa kepada suami untuk menyatakan penghargaan anda. Rumah tangga yang dibina pasti lebih bahagia jika suami isteri bersikap tolak ansur antara satu sama lain.

Artikel Suami Si Pembantu Kerja Rumah diambil daripada Majalah Pesona Pengantin

Komen anda