Orang yang tidak berdoa ialah orang yang sombong. Ini kerana dia tidak merasakan kebergantungan kepada ALLAH Yang Maha Kuasa. Tidakkah kita sedar bahawa doa ialah senjata bagi orang Islam? Malah ALLAH ingin mendengar hamba-Nya berdoa dan meminta-minta kepada-Nya.

Dari segi jodoh pula, kita disaran supaya berdoa agar ada seseorang yang baik mencintai kita lantas membawa kita ke arah perkahwinan. Berdoalah tidak kira anda lelaki atau perempuan. Doa supaya ALLAH mendatangkan seseorang untuk menjadi suami atau isteri kita.

Selain berdoa, kita perlu berusaha. Usaha kita ini ialah sebagai menyokong doa kita itu supaya lebih mudah terlaksana.

3 usaha yang boleh dibuat untuk menyokong doa mempercepat jodoh ialah:

1) Minta bantuan sahabat untuk menyampaikan hasrat kepada orang yang disukai sebagai bakal jodoh.
2) Berusaha memujuk hati jika hasrat anda ditolak oleh si dia. Maklumlah cinta tak boleh dipaksa. Jadi memang ada risiko untuk ditolak.
3) Berusaha menunaikan solat istikharah dan solat hajat supaya ALLAH memudahkan segala urusan.

ALLAH juga berjanji kepada sesiapa yang rajin berdoa, pasti akan dimakbulkan. Pun begitu, anda kena faham bahawa ada tiga cara ALLAH memakbulkan doa kita.

3 cara ALLAH memakbulkan doa:

1) Memberikan apa yang dihajati di dunia ini.
2) Memberikan keampunan terhadap dosanya.
3) Memberikan apa yang dihajati di akhirat nanti.

Justeru, jika anda berdoa mengenai jodoh, jika tiada di dunia ini maka jodoh anda itu akan ditemui di akhirat kelak.

Komen anda