Memang lafazkan cinta cuma perlukan air liur, tapi membina dan memlihara cinta memerlukan jauh lebih banyak dari itu. Walaupun cinta itu dirasakan cinta sejati dan anda dah berjanji nak sehidup semati, ia tetap perlukan modal.

Tak ada benda yang percuma begitu saja. Semuanya perlukan pengorbanan. Tak percaya? Jom tengok senarai ini;

1. Bil / kredit telefon

Setiap pasangan yang bercinta mestilah nak sentiasa berhubung antara satu sama lain. Kalau sebelum ini bil anda cuma sekitar RM30, semasa bercinta ia pasti naik berganda. Tambah lagi kalau pasangan itu suka bergayut telefon setiap malam. Kalau nak jimat, cuba berhubung di Whatsapp atau Facebook saja pula.

2. Tambang

Bagi yang tak ada kenderaan sendiri, tambang bas, teksi, LRT atau monorel pasti akan bertambah. Manakala yang ada kenderaan sendiri pula, pastinya duit minyak akan melambung naik. Mestilah anda nak berjumpa dengan si dia setiap hujung minggu. Kadang-kadang sampai 4 -5 kali seminggu! Sekali sekala, apa kata anda ajak si dia berjalan kaki.

3. Masa

Kalau dulu mungkin anda ada banyak masa terluang. Boleh habiskan masa seorang diri atau berjumpa dengan kawan-kawan. Sekarang, anda kena tepikan masa khas untuk si dia. Teman jalan-jalan, membeli belah dan sebagainya.

4. Pakaian

Setiap kali anda nak berjumpa dengan si dia mesti anda nak nampak menarik kan? Tak nak lah nampak selekeh di matanya. Jadi anda pun akan mula suka membeli baju, kasut baru. Semuanya perlukan wang. Tapi jangan sampai anda kena tanggung perbelanjaan baju dan kasut baru untuk dia pula. Pening nanti!

5. Kos makan minum

Kalau dulu ada cuma makan seorang, sekarang sesekali anda kena belanja dia makan. Bajet pun kenalah naik. Nak jimat? Bagitahu si dia yang anda nak bayar asing-masing. Atau sesekali bawa dia pergi piknik sambil makan bekalan dari rumah.

6. Hadiah

Setiap kali ada hari istimewa, pasti anda perlu beli hadiah. Nak beli yang murah takut dia tak suka. Tapi yang mahal, macam membazir pula. Kadang-kadang bukan hadiah saja, bahkan kena bawa dia makan di tempat istimewa juga. Memang mahal modalnya.

Komen anda