Tidak dinafikan bahawa bunga mempunyai pelbagai khasiat. Pelbagai bunga dan haruman yang ada pada bunga boleh digunakan untuk membantu menyihatkan tubuh. Mungkin atas sebab ini maka ada yang mempraktikkan mandi bunga sebagai ikhtiar untuk mendapat jodoh.

Jodoh sememangnya rahsia ALLAH. Kita tidak tahu dengan siapa dan bila kita akan bertemu dengan jodoh. Mungkin sudah lama menunggu jodoh, akhirnya kita terpanggil untuk melakukan ritual mandi bunga kononnya sebagai ikhtiar.

Memang boleh mandi bunga tetapi janganlah kita berjumpa dengan orang yang mengamalkan ritual lalu meminta dia memandikan kita. Sebaliknya, kita boleh sahaja mandi sendiri dengan niat untuk mendapat manfaat kesihatan daripada unsur-unsur kebaikan yang ada pada bunga-bungaan tersebut.

Jangan sesekali mandi bunga dengan niat untuk cepat jodoh kerana dikhuatiri boleh terpesong niat tersebut sehingga menjadi syirik. Percaya kepada kuasa seseorang sehingga meminta orang itu memandikan kita dengan air bunga boleh menjadi khurafat.

Islam telah menganjurkan kita untuk berusaha memudahkan jodoh dengan cara berdoa, solat istikharah dan solat hajat. Itulah yang sebaiknya.

Komen anda