Soalan:

Bolehkah jika saya memilih untuk tidak berkahwin? Baru-baru ini, seorang rakan saya melamar saya sebagai isterinya, namun saya malu dan takut untuk menjadi seorang isteri, khususnya apabila memikirkan tentang hubungan seks. Harap dapat berikan penjelasan.

Jawapan:

Pertama sekali, jika seorang lelaki ingin melamar seorang wanita menjadi isterinya, dia melamar di hadapan wali wanita tersebut. Maksudnya, lelaki itu pergi ke rumah wanita terbabit dan melamar di hadapan ibu bapanya, atau paling kurang ayahnya. Jika seorang lelaki itu tidak menghormati ibu bapa bakal isterinya, satu hari kelak dia juga tidak akan menghormati isterinya.

Adapun malu dan takut melakukan hubungan seks, maka ia adalah ciri yang mulia. Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pernah bersabda: Iman memiliki lebih dari enam puluh cabang, dan malu adalah bahagian daripada iman. [Shahih al-Bukhari, no: 8/9] Namun, berkahwin dan melakukan hubungan seks adalah juga ciri yang mulia, bahkan menjana pahala kerana dapat menghalang kedua-dua pasangan daripada melakukan sesuatu lain yang haram [Shahih Muslim, no: 1674/1006]. Carilah seorang calon suami yang baik, yang akan memahami cabaran anda dalam melakukan hubungan seks ini.

Merujuk kepada hukum berkahwin, ia memang sesuatu yang dianjurkan dan ditekankan oleh Islam. Namun, jika seorang wanita belum bersedia untuk menjadi seorang isteri, maka ia bukanlah satu kesalahan.

Pada zaman Rasulullah, seorang wanita pernah dipaksa kahwin oleh ayahnya, lalu menolak kerana tidak sanggup memikul tanggungjawab sebagai seorang isteri terhadap suaminya. Rasulullah menerima penolakan tersebut [Shahih al-Targhib wa al-Tarhib, no: 1943].

Komen anda