Apabila kita berkahwin, tanamlah dalam hati kita untuk jadi individu hebat buat pasangan. Kita berazam mahu laksanakan tanggungjawab dengan baik demi membahagiakan pasangan. Jika tiada azam begini, untuk apa perkahwinan itu dilakukan. Betul tak?

Selalu kita nampak di media sosial orang menggunakan perkataan ’till jannah’. Ini menunjukkan betapa ramai yang ingin kekal bersama pasangannya di dunia ini hingga ke syurga.

Kami berikan sedikit panduan untuk anda berusaha menuju ke arah positif dalam melayari rumahtangga anda bersama pasangan.

1) BERIBADAT SECARA BERJEMAAH

Melakukan ibadat boleh jadi satu tabiat yang menarik jika dilakukan secara berjemaah. Apatah lagi jika anda melakukannya bersama pasangan tercinta. Hal ini boleh menuntun anda ke arah yang lebih baik. Sekali gus meningkatkan ketaqwaan.

2) KONSISTEN MENGERJAKAN IBADAT SUNAT

Orang yang mahu berubah menjadi lebih baik, perlu rajin membuat ibadat sunat. Lakukannya secara konsisten. Anda perlu sentiasa bersabar ketika beribadat. Antara ibadat yang boleh dilakukan ialah puasa, solat dhuna dan tahajud. Isteri perlu minta izin untuk melakukan ibadat sunat ini daripada suami. Lebih elok jika lakukannya secara bersama-sama.

3) MENUTUP AURAT SECARA SEMPURNA

Isteri yang tidak menutup auratnya dengan sempurna boleh menyebabkan suami mendapat gelaran lelaki dayus. Ini kerana suami dikatakan membiarkan isteri melakukan dosa. Justeru untuk memastikan cinta anda berdua kekal sampai ke syurga, tutuplah aurat dengan sempurna.

4) AMAL JARIAH

Pada hari ini, tidak sukar untuk seseorang itu melakukan amal jariah. Ini kerana segalanya di hujung jari. Amal jariah termasuklah bersedekah dan menyebarkan ilmu yang bermanfaat. Anda boleh bersedekah secara online dengan memasukkan wang ke dalam akaun individu atau pihak yang memerlukan. Manakala ilmu pula boleh disebar secara atas talian melalui laman sosial. Mudah, kan?

5) AMBIL BERAT SOAL TANGGUNGJAWAB

Perkara paling utama untuk mendorong anda ke syurga ialah tanggungjawab. Suami perlu tahu tanggungjawab terhadap isteri dan begitu juga dengan isteri. Jika masing-masing tahu tanggungjawab sendiri, insya-ALLAH anda akan menjadi pasangan yang bercinta hingga ke syurga.

Komen anda