Ada kala kita diberikan ujian apabila mempunyai dua calon jodoh dalam satu masa. Di sana kita sayang, di sini kita suka. Justeru kebuntuan datang melanda. Hati mulai berbelah bagi. Perasaan kasih dan sayang tiada sesiapa yang memaksa. Kita sendiri kena faham apa sebenarnya yang kita mahukan dalam perkahwinan.

Jadi apabila kita ada dua pilihan, mana satu yang kita perlu pilih? Dalam hal ini, anda perlu meneliti kriteria setiap calon. Ya, memang pastinya ada yang terkecewa. Namun anda perlu betul-betul terbuka dalam memilih. Ingat ya, anda perlu jaga hati semua orang. Jadi mintalah bantuan daripada Yang Maha Esa.

Perhatikan langkah-langkah di bawah.

LANGKAH PERTAMA – ISTIKHARAH

Jangan lupa dirikan solat istikharah supaya ALLAH membantu anda dalam proses membuat pilihan. Petunjuk daripada-Nya pasti membantu anda membuat pilihan yang betul. Petunjuk selalunya diberikan melalui mimpi dan gerak hati. Mudah-mudahan anda dapat petunjuk yang mudah dikenal pasti.

Sebelum solat istikharah, anda perlu penuhi terlebih dahulu solat fardu. Jangan tinggal solat. Rajinkan diri membuat solat sunat. Solat ialah tiang agama. Berdoalah ALLAH tunjukkan jalan dan mintalah pada Dia supaya tiada hati yang terluka. Manalah tahu, si dia yang tidak terpilih akan berasa dendam. Jadi elakkanlah semua itu terjadi. Biarlah masing-masing terbuka hatinya.

LANGKAH KEDUA – MENERIMA

Buka hati anda untuk melihat kebaikan antara calon. Lain orang pasti lain sikap dan perangainya. Pasti ada kebaikan antara mereka yang mencuri hati anda. Namun hati-hati. Jangan tertipu dengan kebaikan yang palsu. Selidiki tahap agamanya, solatnya, puasanya dan amal jariahnya. Bukanlah bermaksud perlu mencari ustaz atau ustazah. Namun carilah pasangan yang ada pegangan agama yang kukuh demi masa depan yang lebih baik.

Pada hari ini, mungkin memilih si dia yang mempunyai kedudukan kewangan lebih baik menjadi keutamaan. Pun begitu, janganlah sampai anda jadi orang yang mata duitan. Ya, memang wang itu penting. Sekali lagi ditegaskan, calon jodoh perlulah saling melengkapi. Pilihlah yang agamanya kuat, tahu tanggungjawab dan menyenangkan hati anda dari segi sikapnya. Di samping itu, perasaan cinta juga penting supaya anda ada rasa kasih kepadanya.

LANGKAH KETIGA – NASIHAT

Dapatkan nasihat daripada individu lebih berpengalaman. Paling dekat ialah daripada ibu bapa. Tiada salahnya jika anda mahu mendapatkan pandangan daripada sahabat baik. Rangkumkan semua pendapat dan buatlah pilihan yang dekat dengan hati anda.

Nasihat daripada orang tua dan sahabat baik boleh dijadikan panduan. Mereka boleh nampak orang yang sesuai untuk anda. Ada kala mata kita dikaburi dengan perasaan cinta. Jadi, pandangan orang lain boleh menjadikan pilihan kita lebih bersifat realistik.

Selamat memilih!

Komen anda