Perasaan cinta tersemat di hati. Dibuai dengan rasa rindu, ditambah dengan rasa kasih dan sayang. Inilah yang dinamakan cinta terkunci di dalam hati. Tiada lagi insan lain yang kononnya dapat bertakhta di hati.

Pun begitu, usahlah meletakkan orang yang dicinta itu terlalu dekat dengan hati anda. Meletakkan harapan pada manusia adalah satu perbuatan yang tidak baik. Cintailah ALLAH terlebih dahulu sebelum anda mencintai manusia.

Manusia boleh sahaja menyakitkan hati anda. Sebaliknya jika anda mencintai ALLAH, anda lebih terarah ke syurga malah DIA tidak akan pernah menjauhi hamba-NYA yang bertakwa. Hati anda tidak sekali-kali akan disakiti.

Justeru, elakkanlah diri anda daripada terbuai-buai dek perasaan cinta yang keterlaluan. Selalunya apabila bercinta, anda mudah terbuai dengan lagu-lagu yang mendendangkan lirik putus cinta, bahagia bercinta dan sebagainya.

Lantas anda akan semakin mudah hanyut dibawa emosi yang terarah kepada cintakan manusia. Tidak mustahil pada saat kecewa bercinta baharulah anda teringat akan adanya ALLAH.

Kuncilah cinta anda pada si dia berpada-pada. Jangan melampaui batas. Lengkapkan diri dengan iman sebelum mengunci diri dengan perasaan cinta. Semoga cinta anda berdua dirahmati ALLAH Yang Maha Esa.

5 Sebab Jangan Terlalu Mencintai Si Dia
1) Hati manusia boleh berubah. Bimbang jika dia berubah, anda mengalami kekecewaan yang keterlaluan.
2) Cinta kepada manusia perlu berpada-pada. Cinta sebenarnya ialah kepada ALLAH dan Rasul.
3) Manusia tidak boleh melampaui batas.
4) Terlalu mencintai manusia boleh menjurus kepada maksiat.
5) Anda perlu mengutamakan bapa yang juga wali anda.

Komen anda