Pengunjung hari pertama Karnival Karangkraf 2016 tidak melepaskan peluang mendapatkan buku, novel, majalah serta produk-produk keluaran Karangkraf yang dijual dengan harga runtuh.

Lebih istimewa, mereka berpeluang mendapat pelbagai hadiah setiap kali pembelian.

Pengarah Eksekutif (Penerbitan Buku dan Majalah) Karangkraf, Firdaus Hussamuddin berkata, pelbagai aktiviti menarik yang disediakan berjaya menceriakan kunjungan orang ramai ke Karnival Karangkraf bertemakan Game On pada tahun ini.

Menurutnya, tarikan mendapat sambutan hangat ialah Galeri 3D Trik Mata Impiana, Fun Game, Karangkraf Fun Ride, aktiviti untuk kanak-kanak seperti maskot watak animasi Chichi & Chacha, Didi & Friends, Dunia Eicak, Cingkus Blues dan The Amazing Awang Khenit.

Hari pertama diceriakan dengan kehadiran artis, Amyra Rosli dan Saharul Ridzwan menjalani penggambaran drama Seindah Takdir Cinta adaptasi novel nukilan Kamsiah Abu di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.

“Pengunjung wanita pula memenuhi gerai majalah yang menyediakan 6,000 helai tudung percuma dengan setiap pembelian Hijabista, Nur dan Dara selain mencuba nasib melalui cabutan bertuah bernilai RM40,000 bagi langganan majalah.

“Lebih menarik tahun ini, Kermes Turkies Delight yang menyalurkan hasil jualan seni (Turkish Marbling Art Ebru), kaligrafi, makanan, peralatan serta baju dari negara Turki kepada Maahad Tahfiz Sulaimaniyyah,” katanya.

Firdaus berkata, walaupun baru hari pertama, sambutan diterima di luar jangkaan di mana orang ramai berpusu-pusu mendapatkan bahan bacaan kegemaran dengan harga murah.

“Ada yang sanggup ambil cuti datang ke sini (karnival) dan bawa beg besar, troli, bakul sendiri untuk borong buku dan majalah,” katanya.

Layari laman sosial Facebook Karnival Karangkraf untuk melihat program karnival dari 26 hingga 28 Februari bermula jam 9 pagi hingga 7 malam (Jumaat dan Ahad), manakala Sabtu dari 9 pagi hingga 11 malam.

Sumber: Sinar Harian

Komen anda