Apabila hubungan dengan si dia dilanda masalah, kita cenderung untuk bersedih. Ketika itu barulah kita ingat akan ALLAH. Kita duduk lama di sejadah untuk mengenang nasib diri yang kecewa dengan cinta. Betul ke tindakan kita ini?

Ini menunjukkan bahawa hubungan anda dengan ALLAH masih belum betul lagi. Anda dinamakan sebagai orang yang bergantung pada Tuhan hanya ketika anda dalam kesusahan.

Ada sebuah hadis yang sangat istimewa.

Daripada Abu Hurairah RA. Dia berkata, Rasulullah bersabda,

“ALLAH berfirman: Aku menurut sangkaan hambaku kepadaku. Dan aku bersamanya apabila dia ingat kepadaku. Jika dia ingat kepadaku dalam dirinya maka aku mengingatinya dalam diriku. Jika dia ingat kepadaku sejengkal, maka aku mendekat kepadanya sehasta. Jika dia mendekat kepadaku sehasta, maka aku mendekat kepadanya sedepa. Jika dia datang kepadaku dengan berjalanm maka aku datang kepadanya dengan berlari-lari kecil.” – Hadis Riwayat Muslim, Tirmidzi, IBN Majah

Hadis yang indah ini memberitahu kita tentang banyak perkara contohnya tawakal (kepercayaan dan pergantungan yang penuh kepada Allah SWT), zikir yang berterusan dan qadar (takdir).

Hadis ini juga membuktikan bahawa semakin banyak usaha kita untuk mendekali Allah SWT, semakin Allah SWT akan mengingati kita.

Semua perkara akan mula menjadi baik apabila anda membaiki hubungan anda dengan ALLAH.

Perlahan-lahan, semua perkara akan berada di tempat yang sepatutnya semua kerana anda percaya dan yakin pada-Nya. ALLAH memberi ganjaran kepada kepercayaan anda dengan memberikan anda kemudahan dalam kesusahan. ALLAH beri anda apa yang anda perlukan.

Semoga ALLAH menjadikan kita golongan hamba-hamba yang soleh di dunia dan di akhirat.

Komen anda