Konflik dan masalah adalah asam garam hidup. Cara anda menyelesaikan masalah boleh menentukan sama ada perkahwinan itu tenang atau sebaliknya. Ia juga boleh menentukan arah tuju kita di Akhirat nanti.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW berkata;

“Sesungguhnya seseorang itu boleh berkata sesuatu yang diredhai Allah SWT dan ia tak sangka bahawa perkataan itu akan mencapai satu tahap yang dapat dicapainya, lalu Allah tuliskan bahawa ia akan memperoleh redhaNya pada Hari Perhitungan nanti. Dan sesunggunya seseorang itu boleh berkata sesuatu yang dimurkai Allah, ia tak sangka bahawa perkataan itu akan satu tahap yang dapat dicapainya, lalu Allah tuliskan bahawa ia akan memperoleh kemurkaanNya pada Hari Perhitungan nanti” (HR Tirmidzi dan Ibn Majah)

Allah SWT juga berkata di dalam Al-Quran yang bermaksud;

Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).
(QS Qaaf 50:18)

Apa pun yang anda rasa, ingat bahawa penggunaan bahasa yang kasar dan kata-kata kesat dalam pergaduhan hanya akan meninggalkan impak yang negatif dan perasaan itu akan kekal walaupun selepas masalah anda selesai. Tambah lagi, ia akan mengganggu emosi dan rasa tak puas hati yang akan bercambah dalam hati.

Pun begitu, jangan pula anda terus diamkan diri tanpa berbincang langsung bila ada masalah yang timbul.

Ini cuma penyelesaian jangka masa pendek. Sementara anda berdiam diri, perasaan anda akan terbuku dalam hati. Lama-lama anda akan jadi seorang yang kurang sabar dan bila-bila masa saja boleh “meletup”.

Jadi berbincanglah secara baik. Pastikan anda berdua dalam keadaan bertenang dan luahkan perasaan masing-masing tanpa mengguriskan hati sesiapa pun.

Kedua-dua suami isteri mesti elak buat keputusan hanya kerana mahu terasa seperti “menang”. Ini hanya akan membesarkan jurang di antara anda berdua. Paling penting, jaga kata-kata anda.

Abdullah bin Amir RA berkata; “Rasulullah SAW tak pernah keji atau lucah dalam bahasanya. Baginda pernah berkata, ‘Yang terbaik di antara kamu adalah mereka yang mempunyai akhlak yang terbaik.” (HR Bukhari)

Dan apabila Aishah RA ditanya tentang akhlak Rasulullah SAW, dia berkata; “Rasulullah SAW tak pernah kurang ajar atau tidak senonoh, dan dia tak pernah menyaringkan suaranya di jalanan, dan tak membalas kejahatan dengan kejahatan, tapi dia memaafkan dan memberi ampunan.” (HR Tirmidzi)

Kita pun dah diberi amaran oleh Rasulullah SAW dari menjadi “orang yang paling buruk di mata Allah SWT pada Hari Kiamat”, iaitu “orang yang dielakkan oleh orang lain kerana kejahatannya.” (HR Bukhari).

Komen anda