Soalan:

Saya akan berkahwin tak lama lagi. Tetapi lelaki tu bukan pilihan saya sebaliknya pilihan keluarga sedangkan saya ada teman lelaki sendiri tapi saya takut menolak pilihan keluarga. Apakah saya berhak menolak jodoh itu?

Jawapan:

Perkahwinan adalah satu ikatan suci yang diharuskan oleh Islam. Itulah sebabnya dalm hal perkahwinan, banyak ayat al-Quran dan hadis dinukilkan untuk menjadi panduan kepada umat Islam. Daripada hal yang berkaitan dengan jodoh hinggalah soal tanggungjawab dalam rumahtangga dan mendidik anak-anak. Itulah cantiknya Islam, segala-galanya ada tersedia garis panduan yang harus diikuti, hanya memerlukan kajian untuk lebih memahami dengan terperinci.

Berbalik kepada soal memilih jodoh, pada asasnya memang benar jodoh itu ditentukan oleh Allah SWT. Namun begitu, usaha mansuia tetap memainkan peranan kerana apa yang kita perolehi adalah berdasarkan kepada usaha kita. Itulah Allah yang Maha Pemurah dan Maha Mengetahui. Untuk menjawab soalan saudari, sama ada memilih pilihan hati sendiri atau memilih pilihan keluarga, tetaplah ikut garis panduan yang ditetapkan Islam, iaitu memilih pasangan hidup kerana agamanya.

Perkara yang diutamakan oleh Islam bagi lelaki ataupun perempuan dalam memilih jodoh ialah kerana agama dan akhlaknya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila datang kepada kamu lelai yang kamu redhai (sukai) akhlak dan agamnya, maka kahwinilah dia (terimalah pinangannya). Sekiranya kamu menolak, akan berlakulah fitnah dan kerosakan yang merata di muka bumi.

Soal akhlak dan agama amat penting kerana penentu bahagia dalam rumahtangga adalah apabila kedua-dua suami suami isteri mempunyai akhlak yang baik dan taat kepada ibadah. Orang yang mempunyai agama dan akhlak yang baik akan sabar, tabah, bertolak ansur, kerjasama, suka berbincang, tanggungjawab, setia, amanah, dan jujur dalam menjalani cabaran kehidupan berumahtangga. Wang dan pangkat bukan satu jaminan kebahagiaan, kegembiraan, kesetiaan, ketabahan dan jodoh yang berkekalan.

Oleh itu, sebagai orang yang bijak menilai, amatilah karektor kedua-dua calon tersebut. Di sini, seharusnya keluarga juga memikirkan perasaan saudari, sepertimana hadis Nabi yang bermaksud, “Tak ada bandingan kasih sayang di anatara dua orang yang bercinta sebagaimana kasih sayang di antara suami isteri”.

Maksudnya di sini, perkahwinan itu adalah jalan terbaik untuk mengikat kasih sayang dan ikatan cinta yang terjalin. Sungguh, Islam itu praktikal dan ikatan perasaan perlu diikat dengan tali pernikahan yang sah. Oleh itu, keluarga juga perlu mendengar dan meraikan perasaan dan merestuinya dengan ikatan perkahwinan demi kebahagiaan anak-anak.

Lepas ada keputusan yang dirasakan tepat, buatlah solat istikharah. Semoga diberi petunjuk dalam hal ini. Kalau sesuatu pilihan yang dibuat itu tepat, inshaAllah segala urusan saudari akan dipermudahkan.

Komen anda