Assalamualaikum dan salam sejahtera. Moga semua pembaca coretan ini sentiasa dalam rahmatNya dan lindungan Yang Maha Esa.

Ini kisah saya. Kisah yang sangat saya ingin kongsikan agar ia menjadi panduan buat gadis-gadis di luar sana dan sesiapa saja yang sedang leka bercinta.

Kisah ini bermula 5 tahun yang lalu, ketika saya saya mula berkenalan dengan lelaki yang sebaya dengan saya. Ketika itu umur saya 19 tahun, masih belajar di peringkat Diploma. Masa itulah, rakan sebaya semua cukup ghairah mencari pasangan hidup. Saya dan dia berlainan kursus, kami tapi berkenalan bila kami bekerjasama menganjurkan satu program – dia pengarah program, saya pula timbalannya jadi kami sering “contact” untuk urusan ini.

Lama-kelamaan, kami mula saling suka dan kemudiannya bercinta. Masa itu, terasa bersyukur yang Allah temukan saya dengan lelaki baik. Dia selalu kejutkan saya solat Subuh, dan rajin ingatkan saya supaya sentiasa bersyukur. Dia penyabar, dan sungguh-sungguh menyatakan niatnya untuk mengahwini saya. Kami bercinta, tapi tak pernah bersentuhan. Walhal untuk keluar bersama pun, kami tetap akan naik kenderaan asing-asing, cuma duduk bersama di tempat makan nanti. Terasa beruntung.

Kami berkawan selama tiga tahun tapi mungkin kerana usia saya yang masih belum matang, saya sentiasa inginkan perhatian darinya dan cepat cemburu bila nampak dia seakan rapat dengan perempuan lain. Dek kerana perangai saya yang ini, dia memutuskan untuk berpisah dengan saya setelah kami tamat diploma. Sedihnya hati hanya Allah yang tahu. Tak mahu cari pengganti, kerana saya tak mahu bertukar-tukar pasangan. Biarlah setia pada yang satu, tapi sama-sama berusaha memperbaiki diri. Saya cuba pujuk dia dan cuba kurangkan emosi. Saya latih diri untuk sabar. Saya cuba pujuk dia semula dan alhamdulillah, bila kami sambung semula ke peringkat ijazah, kami berkawan semula.

Saya kira hubungan kami dah cukup lama, jadi dia pun bawa saya jumpa dengan keluarganya. Alhamdulillah mereka dapat terima saya dengan baik. Saya juga ada bawa dia berjumpa dengan keluarga saya. Dia ada berkata pada ibu saya yang dia benar-benar serius dengan saya. Mungkin sebab ni, saya anggap hubungan kami sudah kukuh dan saya pun mula usaha mengumpul duit untuk perkahwinan kami.

Waktu itu umur kami dah masuk 22 tahun, jadi saya berazam untuk tak susahkan dia dan keluarga dengan hal-hal perkahwinan. Saya berniaga secara kecil-kecilan di atas talian. Bila tak ada kenderaan, saya akan naik bas untuk menghantar barangan kepada pelanggan. Saya memang gigih nak kumpul duit memandangkan kami merancang untuk berkahwin ketika belajar. Namun, setelah hampir 2 tahun di zaman ijazah, saya mula merasakan perubahan sikap si dia.

Saya cuba untuk perbaiki perkara yang tidak kena dalam hubungan kami. Saya bertanya pada dia jika dia ada masalah yang ingin dikongsikan tetapi tidak pernah mendapat jawapan yang pasti daripada dia. Apabila saya menyatakan hasrat untuk kami berkahwin, dia memberitahu yang dia hanya nak jemput orang rakan baiknya saja. Saya jadi risau sebab perkahwinanlah yang sepatutnya dihebahkan; kenapa dia tak nak jemput rakan-rakan sekelasnya masa zaman diploma dulu?

Lama-kelamaan, sikapnya jadi makin pelik. Dia sudah jarang berhubung dengan saya. Lagipun, kolej kami berdua sememangnya jauh. Hanya kepercayaan yang saya letakkan padanya. Bila saya bertanya mengapa kami jarang berjumpa, dia beritahu semua itu tidak perlu kerana dia ingin simpan kemanisan itu setelah berkahwin. Saya akur dengan kata-kata dia kerana ada benarnya. Tetapi entah kenapa saya mula rasa sedap hati. Akhirnya, saya memberanikan diri untuk bertanya kepada dia, adakah dia tidak teringat pada saya kerana dia seperti tidak endah pada saya. Jawapannya adalah “tidak perlu lah teringat-ingat ni nanti jadi zina hati”. Dan disebabkan jawapannya itulah, saya memilih untuk memutuskan hubungan. Kerana saya fikir dia ingin mendekatkan diri dengan Allah. Saya fikir dia ingin berubah dan saya juga ingin berubah memperbaiki diri dan bertaubat.

Saya redha atas ketentuanNya. Setiap hari saya berdoa agar Allah permudahkan urusan kami kerana saya masih berharap jodoh kami dipertemukan semula. Saya masih meneruskan perniagaan saya untuk mengumpul wang. Hati saya masih pada dia. Tidak sedikit pun saya fikir untuk beralih arah walaupun ada lelaki yang cuba untuk berkenalan dengan saya.

Mungkin Allah nak bukakan mata saya, jadi satu demi satu Dia hantarkan petunjuk. Bila saya berjumpa dengan rakan-rakan sekampus Diploma dahulu, tiada seorang pun yang menyebut nama dia di depan saya, seolah-olah mereka sudah tahu keadaan kami sedangkan saya cuma berkongsi cerita dengan teman rapat saja.

Setelah empat bulan kami berpisah, takdir Allah, seorang rakan sekampus saya di zaman Diploma dulu bertanya tentang status saya dan dia. Saya memberitahu kami memang tidak berhubung lagi. Alangkah terkejutnya saya apabila diberitahu yang mereka nampak si dia kerap keluar dengan perempuan lain, makan bersama dan boleh nampak kemesraan mereka. Rupa-rupanya ramai yang sudah nampak dia kerap berjumpa dengan perempuan lain cuma saya saja yang tak tahu apa-apa!

Hati saya jadi begitu sedih. Saya ceritakan pada teman rapat saya tentang kejadian ini, tapi tambah hancur hati saya bila dia tunjukkan antara si dia dan rakan sebilik teman rapat saya ni. Rupanya selama ni si dia ada menyimpan perasaan pada orang lain cuma saya yang tak nampak! Katanya si dia dah cuba nak mengorat perempuan lain selama bertahun lama tapi bila tak berjaya, saya dijadikan tempat bersandar yang “sementara”.

Hancur rasa hati. Empat tahun kami berkawan tapi rupanya saya langsung tak kenal sipa si dia kerana semuanya lakonan semata-mata!

Katanya, dia ingin kejar cinta Allah. Tapi rupanya yang dikejar hanya cinta manusia semata-mata.

Jangan bercakap soal zina hati kalau diri masih selalu keluar berjalan-jalan dengan perempuan lain. Jangan bercakap tentang zina hati kalau zina masih sanggup khianati hati dan kepercayaan perempuan lain.

Sedih, marah, kecewa, rasa ditipu, semua bercampur. Saya jadikan ini sebagai satu pengajaran terbesar dalam hidup saya. Bila sudah jatuh cinta, semuanya menjadi buta. Saya tanamkan dalam hati yang saya tidak mahu salahkan dia, saya salahkan diri saya kerana mencintai orang salah, saya kasih pada orang yang salah, saya berkorban pada orang yang salah.

Apa yang saya mampu lakukan, saya serahkan urusan ini pada Allah. Sedikit pun saya tidak ada rasa untuk membalas dendam.

Pesanan buat gadis di luar sana, jangan pernah percaya pada kata-kata manis saja. Letakkan cinta Allah dahulu dalam hatimu. Jagalah dirimu sebaik mungkin. Carilah suami yang apabila mereka ingin menikahimu, mereka benar-benar serius berjumpa walimu. Jangan percayakan kata-katanya, tapi percayakan perbuatannya bila dia bersungguh memperisterikanmu.

Anda ada karya untuk dikongsi? Emailkan kepada [email protected]

Komen anda