Realiti kehidupan pada hari ini ialah anda kena kukuh dalam kewangan. Bukan hendak mengajar anda jadi mata duitan, tetapi inilah hakikat sebenar. Tanpa kewangan yang mencukupi, kehidupan boleh jadi porak-peranda.

Ya, memang wang bukan segala-galanya. Namun segala-galanya memerlukan wang. Nak kahwin kena ada duit, nak makan kena ada duit, nak minum kena ada duit. Nak bersalin pun kena ada duit.

Jadi, kalau anda hanya ada cinta sahaja, itu tidak memadai. Anda kena lengkapkan cinta dengan usaha untuk mendapatkan duit. Persiapkan diri anda dengan wang untuk berkahwin. Barulah nampak ada usaha hendak menjadikan anak dara orang sebagai pasangan.

Selain cinta yang mekar di dada, apa lagi keperluan untuk melengkapkan cinta anda itu?

MATANG BERFIKIR

Dalam sebuah perkahwinan, perkara yang lebih penting berbanding cinta adalah kematangan akal untuk berfikir. Anda perlu matang untuk membuatkan cinta itu seimbang dengan akal. Hal ini akan membantu anda membuat keputusan.

Jangan terlalu ikut perasaan. Emosi kita cuma sementara. Jika suatu hari nanti perasaan cinta anda semakin pudar, kematangan akal andalah yang akan jadi penyelamat kerana perkahwinan yang bahagia perlukan pasangan yang sama-sama matang apabila terpaksa hadapi cabaran.

TANDA FIKIRAN SUDAH MATANG

Anda dikatakan matang apabila anda mampu tepikan emosi di saat genting. Anda matang apabila anda mampu lihat hikmah di sebalik setiap ujian. Anda matang apabila anda mampu sabar ketika syaitan berbisik. Anda matang apabila anda belajar dan terus belajar, walaupun sudah banyak yang anda lihat di sekeliling anda setiap hari.

Sebelum memikul tanggungjawab sebuah perkahwinan, silalah matangkan diri terlebih dahulu.

PENTINGNYA KEWANGAN

Ada sesetengah individu beranggapan wang tidak penting sebaliknya cinta yang penuh di dada itu lebih penting. Katanya rezeki orang yang berkahwin itu lebih murah. Hakikatnya, rezeki itu perlu diusahakan. Rezeki takkan datang bergolek.

Selepas kahwin, banyak lagi cabaran yang bakal datang. Konflik rumahtangga, ipar duai, perihal tempat tinggal, anak-anak, kawan-kawan atau majikan yang tak memahami. Sebuah perkahwinan perlu dipertahankan dengan adanya sikap saling setia, jujur dan tanggungjawab.

Justeru sila penuhkan dada dengan ilmu rumahtangga. Cinta kena kukuh dan dalam masa yang sama gigihlah berusaha untuk mencari wang demi menjaga keharmonian rumahtangga anda. Cinta sahaja tak cukup, dik!

Komen anda