Pernikahan ialah cara terbaik untuk kita mempunyai ikatan dengan seseorang. Hubungan yang berlandaskan akad nikah adalah sebuah perhubungan suci dan dilimpahi pahala besar. Hal ini menunjukkan bahawa dua orang insan sudah pun membuktikan cinta antara mereka.

Bicara Manis Cinta dan Kasih

1) Andai cinta itu mulai retak, maka perasaannya tidak lagi seindah dulu. Yang manis jadi pahit, yang cantik tidak lagi bererti pada pandangannya. Inilah hebatnya sebuah cinta. Ukur usianya bukan setahun dua, tetapi perlu subur dan mekar sehingga nyawa dijemput yang Esa.

2) Lihatlah pasangan berusia yang mampu hidup bahagia sehingga usia mencecah senja. Mereka cukup bahagia. Cinta yang lahir dalam diri merupakan sebuah cinta yang sejati. Tiada romantik yang mengada-ngada atau rayuan yang tidak masuk akal. Setiap ujian dan dugaan yang datang juga ditempuh dengan sabar. Mereka cukup faham, cinta itu akan menjadi lebih indah dengan ujian dan cabaran.

3) Amat bagus jika suami dan isteri mencontohi cinta Nabi Muhammad kepada isterinya, Siti Khadijah. Ketika isteri menderita sakit akibat pemboikotan kaum musyrik Quraisy, baginda tidak pernah meninggalkan isterinya seorang diri. Ujian dan dugaan yang dilalui oleh Rasulullah dan Siti Khadijah ketika Baginda berdakwah di kota Mekah, menjadi masa yang begitu indah untuk cinta sejati mereka. Meskipun Khadijah telah wafat, kenangan itu tidak pernah terhapus.

4) Cukup indah kisah cinta antara Nabi Muhammad dan Siti Khadijah. Kita juga boleh melalui dan memilikinya andai kita meneladani kisah istimewa ini. Jadikan setiap ujian yang hadir itu sebagai peringatan untuk kita saling memahami dan bersyukur.

5) Inilah yang harus kita jadikan pengajaran agar perjalanan hidup kita terasa lebih ringan dan bahagia. Sesungguhnya, apa yang kita lalui hari ini adalah bayangan indah yang bakal kita lalui pada masa hadapan. Semakin kita berusaha untuk memahami, bersabar, dan menyuburkan cinta pada hari ini, maka akan banyaklah kemanisan dan keindahan yang menanti kita pada kemudian hari.

Komen anda