Situasi seseorang itu belum berkahwin walau usianya sudah boleh dikatakan lewat bukanlah sesuatu yang luar biasa. Ramai lelaki dan wanita masih hidup single. Pada usia 30-an dan 40-an, mereka hidup sendirian dan belum mempunyai pasangan.

Keadaan sebegini memang nampak biasa pada hari ini kerana ramai yang hidupnya seperti ini. Perihal jodoh bukanlah boleh dijangka kerana semuanya rahsia ALLAH. Janganlah dituduh mereka yang hidup single ini dengan pelbagai tohmahan misalnya terlalu memilih atau kurang usaha.

NO IDEA
Selalunya orang yang berdepan dengan situasi begini tidak tahu kenapa jodohnya lewat. Namun mereka sangat tabah hidup masih sendirian. Tiada seseorang yang hadir dalam hidupnya untuk dijadikan pasangan. Takkanlah hendak pergi kepada mana-mana individu lantas mengajaknya bernikah, kan?

Ada tiga perkara dalam hidup ini yang kita tidak pernah tahu iaitu:
1) Rezeki
2) Umur
3) Jodoh

Jadi, kalau ada yang bertanya kepada individu belum berkahwin mengenai jodohnya, dia pun tidak akan tahu apa yang hendak dijawab.

CARIKAN JODOH
Salah satu usaha yang boleh dilakukan untuk membantu individu belum berkahwin ialah carikan jodoh. Pun begitu ada beberapa kriteria yang perlu anda lihat. Misalnya kehidupan kedua-dua individu yang hendak disatukan itu. Janganlah terlalu berbeza antara kedua-duanya; contohnya kerjaya dan gaya hidup mereka.

Perkahwinan ialah penyatuan dua jiwa. Jadi jangan terlalu ketara perbezaannya kerana sukar untuk mereka berdua hidup di bawah satu bumbung.

JANGAN BUAT TUDUHAN

Seperkara lagi yang perlu ditegaskan ialah jangan asyik bertanya bila hendak kahwin kepada orang yang sedang diuji dengan jodoh tak kunjung tiba. Tuduhan seperti terlalu memilih, tidak laku, tidak pandai bergaya, tidak pandai menarik perhatian atau kurang berdoa adalah amat menggores hati.

Hanya mereka yang melalui situasi ini sahaja yang faham perasaannya. Ada kala hendak pulang ke kampung menghadiri kenduri kahwin saudara-mara pun jadi serba-salah.

Justeru, lebih baik orang sekeliling mendoakan mereka ini dipermudahkan bertemu jodoh berbanding terus membuat andaian yang bukan-bukan. Jodoh itu rahsia ALLAH. Kita tidak berhak mempertikaikannya.

Komen anda