Soalan: Apa kata Islam tentang cinta? Dalam Islam, boleh ke kita jatuh cinta? Kalau ya, bagaimana kita nak patutnya tunjukkan rasa cinta itu tanpa menimbulkan fitnah?

Jawapan: Islam mengajar kita untuk menjadi orang yang jujur dan realistik. Kita cinta sesuatu kerana Allah, dan kita benci sesuatu pun kerana Allah. Islam mengajar kita bahawa lelaki dan perempuan boleh membina hubungan yang baik dengan perkahwinan sebagai asasnya.

Sukar nak menilai sama ada cinta itu halal atau haram kerana ia datang dari perasaan. Ia berada dalam hati masing-masing, dan Cuma hati kita saja tahu sama ada perasaan itu boleh dikawal ataupun tidak.

Kalau bercakap tentang cinta, sebenarnya kita cuma bercakap tentang perasaan. Dan perasaan kita sebenarnya tak penting. Apa yang penting adalah tindakan kita terhadap perasaan itu. Kalau tindakan kita baik, maka eloklah cinta itu. Tapi kalau kita lakukan perkara yang haram dengan alasan cinta, maka buruk dan haram jugalah perasaan cinta itu.

Dalam erti kata lain, perasaan kita pada seseorang selalunya terjadi sendiri. Kita tak pilih dengan siapa kita akan jatuh cinta. Tapi kita bertanggungjawab dengan pilihan yang dibuat berdasarkan perasaan kita. Kalau kita terlalu ikut hati sampai sanggup melanggar perintah Allah SWT, maka berdosalah kita.

Yang pasti, Islam meletakkan batas pergaulan yang jelas di antara seorang lelaki dan seorang perempuan – tak boleh berdua-duaan di tempat yang terasing atau terbuka dan tak boleh bergaul bebas tanpa apa-apa keperluan.

“Siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir, jangan sekali-kali ia berdua-duaan dengan wanita (ajnabiyah/ yang bukan mahram) tanpa disertai oleh mahram si wanita karena yang ketiganya adalah setan.” (HR. al-Bukhari dan Muslim)

Bila anda ada perasaan terhadap seseorang, cuba tanya diri sendiri: kenapa anda suka pada si dia? Kalau anda ada sebab yang munasabah dan baik untuk agama anda, tak perlu pun luahkan pada si dia. Sebaiknya buat rancangan untuk bina masa depan dengan si dia. Langkah pertama – hubungi walinya.

Memang kita boleh melihat dan berkenalan dengan calon pasangan kita. Tapi selagi akad belum dilafazkan, tetap ada syariat yang membataskan.

Sumber gambar: Siti Nur Gagah

Komen anda