Kata orang, kalau mahu cari suami, carilah yang matang, yang lebih tua umurnya. Lelaki matang lebih mudah memimpin isteri dalam rumahtangga. Pun begitu, soal jodoh semuanya terletak pada ketentuan ALLAH. Tanpa perlu mengira berapa umur seseorang, andai dia sudah tertulis sebagai jodoh kita, maka itulah orangnya.

Usia tidak menentukan kematangan seorang lelaki. Semuanya terletak kepada didikan yang diterima oleh lelaki tersebut termasuklah bagaimana cara dia membawa dirinya pada mata masyarakat. Biarpun muda, jika dia mampu menjadi suami yang baik, justeru sudah selayaknya lelaki itu dihormati sebagaimana suami lain oleh isterinya.

Ayuh ikuti pengalaman Azura Baharudin, 35, dan suaminya, Razki Yaman, 24 mengenai perkahwinan mereka walaupun beza usia suami 11 tahun lebih muda:

Ketika hendak berkahwin dahulu, memang ada timbul sedikit kegusaran jika keluarga mempersoalkan umur suami saya. Namun alhamdulillah, kedua-dua belah keluarga sangat berfikiran terbuka. Mereka tidak menghalang malah memberi galakan agar kami cepat melangsungkan pernikahan. Hal ini membuatkan saya bersyukur dan percaya apabila kita mahu membuat sesuatu yang baik, Allah akan mempermudahkannya.

Saya tidak nafikan memang ada cabarannya berkahwin dengan beza usia yang banyak seperti ini. Cabarannya dari segi pemikiran dan komunikasi. Dari segi pemikiran, tidak dinafikan saya lebih tua justeru saya lebih matang. Suami perlu cepat memahami corak pemikiran saya. Dia banyak bertolak ansur untuk memahami saya.

Dari segi komunikasi pula, bak kata orang putih, we speak different language. Tapi macam saya kata tadi, suami saya mudah memahami dan dapat mengikut rentak pemikiran saya yang lebih matang.

Bertelagah antara suami isteri itu perkara biasa dalam rencah rumahtangga. Suami selalu menasihatkan saya supaya jangan sekali-kali ungkit situasi kita dari segi kewangan atau pangkat kita. Masa mula-mula kahwin dulu memang diakui ada terlanjur kata. Namun syukurlah suami jenis yang sentiasa ingatkan bahawa dia mungkin bukan seorang yang mampu dari segi kewangan tapi tak pernah gagal tanggungjawab sebagai suami.

Walaupun suami berusia muda, dia tidak pernah lupa mengajak saya ke arah kebaikan. Dia selalu mengajak saya solat berjemaah. Dari sini saya mulai meningkatkan rasa hormat kepadanya sebagai suami. Hal-hal ini nampak remeh tapi sangat penting untuk membina rumahtangga ke arah yang lebih positif. Bagi saya tidak timbul soal lelaki muda tidak mampu memimpin wanita dalam kehidupan suami isteri.

Sebagai pengasas produk, saya mengendalikan sebuah bisnes. Tanggapan suami menumpang senang atas status saya sebagai businesswoman memang tidak dapat dielakkan. Sebenarnya hal itu tidak berlaku. Ini kerana dia mempunyai bisnes sendiri namun dalam masa sama berkhidmat dalam syarikat saya sebagai Pengurus Jualan dan Pemasaran. Kami banyak bekerjasama dalam perniagaan. Saya ibaratkan dia sebagai tulang belakang perniagaan saya. Tanpa dia tak mungkin saya boleh urus semua sendiri hingga tahap ini. Malah dia juga banyak menyumbang idea dalam setiap perancangan saya.

Saya seorang wanita yang terlalu banyak berdikari, memang pada awalnya agak susah untuk saya pupuk rasa hormat pada suami. Saya seorang yang ego apatah lagi umur saya jauh lebih tua daripada suami dan kedudukan saya dalam perniagaan yang saya bina. Namun secara perlahan-lahan, suami berjaya mendidik saya supaya menghormati dia walaupun dia jauh lebih muda. Saya ingat kata-kata dia bahawa walau berapa pun umur dia, dia tetap ketua keluarga dan sebagai isteri saya wajib taat pada dia.

Dari segi lain pula, berkahwin dengan lelaki muda mempunyai kemungkinan suami akan berkahwin lain apabila kita sudah tua nanti. Maklumlah, dia masih muda. Saya sentiasa bersedia dengan risiko sebegitu kerana saya faham dengan umur saya sendiri.

Berkahwin dengan lelaki muda, saya sentiasa amalkan 5 tip berikut untuk memupuk rasa hormat kepada suami:
a) Sentiasa ingat walau setinggi mana kedudukan kita, kita tetap isteri.
b) Selalu solat berjemaah dan dia selalu menjadi imam saya. Itu akan lebih membuatkan saya hormat dia.
c) Kami selalu bersembang atau meluahkan antara satu sama lain tentang kekurangan masing-masing.
d) Sentiasa berbalik pada agama. Insya-Allah ingat agama kita pasti boleh kekal hormat suami walau dia muda.
e) Set dalam minda walau aku tua dan aku kaya tapi suami tetap ketua keluarga.

https://www.facebook.com/azura.baharudin.733

 

Komen anda