Orang kata tempoh masa bertunang ialah waktu paling kuat dugaannya. Ketika inilah asyik nak merajuk, nak mengamuk dan perangai-perangai yang entah apa-apa mulai muncul. Sehingga ada yang terasa ingin memutuskan hubungan supaya fikiran jadi lebih lega.

Lantas tiada yang mustahil jika ada pasangan bertunang yang buat keputusan untuk putus tunang. Walaupun hal ini selalunya dibawa berbincang dengan orang tua, namun ramai ibu bapa yang pening dengan keputusan anak mereka. Selalunya ibu bapa akan menyuruh anak mereka bertenang kerana faham tempoh masa ini amat getir.

Mungkin ada yang berkata alahai suami isteri pun bercerai inilan pula orang bertunang.

Sebenarnya walaupun putus tunang bukanlah seteruk perceraian namun ianya ialah sesuatu yang sepatutnya dielakkan. Pertunangan ialah ikatan perjanjian untuk berkahwin. Malah wanita yang sudah bertunang sebenarnya haram jika dipinang oleh orang lain. Nampak tak betapa besarnya perjanjian perkahwinan ini? Jadi, jangan main-main dengan status tunang orang.

Bercinta Selepas Nikah menyenaraikan 6 perkara yang menjadi dugaan hebat kala bertunang. Take note.

1) ORANG LAIN KELIHATAN LEBIH HEBAT DARIPADA TUNANG SENDIRI

Apabila jari tersarung cincin tunang, mulalah ternampak-nampak orang lain lebih hebat daripada tunang sendiri. Yang perempuan nampak lelaki lain lebih kaya dan tampan. Yang lelaki nampak perempuan lain lebih cantik dan bergaya.

2) HUBUNGAN DENGAN TUNANG JADI HAMBAR

Ketika bercinta, nampak si dia sangat membahagiakan. Semuanya elok dan menyenangkan. Apabila sudah bertunang, mula nampak perangai sebenar. Mungkin cakap sudah tidak berlapik lagi. Maklumlah, sudah ada komitmen untuk menuju ke arah perkahwinan. Sudah kena simpan duit untuk kahwin. Sudah tidak boleh enjoy sangat.

3) PERASAAN CEMBURU MELUAP-LUAP

Tiba-tiba perasaan sayang semakin menjadi-jadi. Lantas mudah pula rasa cemburu apabila melihat tunang berbual dengan orang lain. Ini dugaan yang selalu terjadi dan boleh memusnahkan hubungan anda.

4) TUNANG CUBA DIGODA OLEH ORANG LAIN

Orang kata bertunang ni darah manis. Ketika inilah tiba-tiba tunang anda cuba digoda orang lain. Bagi tunang yang setia, hal ini selalunya akan dimaklumkan. Jika tunang yang jenis suka digoda, pasti hal ini didiamkan sahaja dan dilayan. Maka boleh mendatangkan sesuatu yang buruk.

5) TEKANAN KELUARGA

Anda akan mulai rasa tertekan apabila keluarga bertanya bila mahu melangsungkan pernikahan. Padahal anda sendiri agak bimbang kerana belum betul-betul cukup dari segi kewangan, sibuk dengan kerja sehingga susah hendak menetapkan tarikh pernikahan dan juga belum selesai urusan persediaan dokumen kebenaran bernikah.

6) TAKUT SALAH PILIHAN

Tatkala ini, ada individu yang mulai ragu-ragu dengan pilihannya. Mungkin dia mempunyai dua pilihan iaitu si A dan si B. Tatkala dia memilih si A jadi tunangnya, tiba-tiba dia rasakan si B lebih sesuai dengan jiwanya. Jangan cari pasal dik!

Komen anda