Kahwin adalah satu fitrah kejadian semula jadi manusia dan sunnah junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w.

Jodoh pertemuan ditentukan Allah s.w.t. Jika telah ditentukan jodoh kita di usia muda, mungkin itulah yang terbaik yang telah Allah s.w.t tentukan untuk kita.

Namun, tidak dinafikan ‘pelik’ di zaman serba moden ini ada pasangan yang berhasrat mendirikan rumah tangga pada usia yang masih muda remaja. Senario berkahwin muda bukan lagi pemandangan biasa kini.

Saya sengaja memilih topik ini kerana kes pembuangan bayi dan gejala sosial dalam masyarakat kita semakin menjadi-jadi.

Kebanyakannya melibatkan golongan remaja. Mengapa? Pada saya, kalau dah gatal sangat nak menikah, kenapa dihalang? Ini bukanlah faktor utama, tetapi sedikit sebanyak menjadi penyumbang kepada gejala tersebut.

Salahkah kiranya mereka berkahwin di usia muda walaupun belum habis belajar?

Saya berkahwin di usia muda. Ketika saya berumur 20 tahun (sedang belajar di tahun 2 UKM). Dikurniakan cahaya mata yang pertama pada usia 21 tahun(sedang belajar di tahun 3).

Walaupun sekarang saya telah berusia 27 tahun dan mempunyai dua orang zuriat, namun saya bersyukur kerana berjaya menghadapi setiap masalah yang melanda alam rumah tangga saya.

Perkahwinan telah mematangkan saya dan pasangan saya. Lantaran itu, saya kurang bersetuju jika faktor usia dijadikan sebagai ukuran untuk mendirikan rumah tangga.

Mengapa saya katakan kurang bersetuju? Ini kerana, saya tidak menyokong seratus peratus perkahwinan di usia muda. Saya juga tidak menghalang seratus peratus. Mengapa?

Bukan mudah untuk melayari bahtera di usia muda yang serba kekurangan. Tanpa keperluan dan persediaan yang mencukupi.

Bukan sahaja kepada bakal isteri, bahkan juga kepada bakal suami. Tidak cukup jika hanya satu pihak yang melengkapkan diri. Ada orang pernah berkata, “Dia kahwin awal takpelah, laki dia kaya”.

Benarkah dia tidak akan menghadapi masalah jika suaminya seorang yang kaya. Walaupun suami mampu namun, di pihak isteri adakah dia telah melengkapkan diri untuk menjadi seorang isteri?

Ada juga sesetengah pihak berpendapat bahawa seseorang yang sedang belajar tidak akan dapat menamatkan pengajiannya sekiranya dia berkahwin ketika sedang dalam pengajian.

Benarkah? Benar kepada mereka yang gagal dan tidak benar kepada mereka yang berjaya. Oleh kerana itulah saya tidak sepenuhnya bersetuju perkahwinan di usia muda dan tidak pula sepenuhnya membantah.

Tepuk dada tanyalah minda. Mampukah untuk aku tempuhi cabaran perkahwinan di usia muda ini?

Kahwin…,mengapa perlu menidakkannya? Tak kira pada usia berapa pun, kita perlu menegakkan sunah ini.

Perkahwinan adalah sesuatu yang indah, ibarat syurga di dunia jika kita bijak melayari bahtera perkahwinan. Benar kata orang “Siapa tak mau kahwin….?”. Suami atau isteri adalah anugerah Allah s.w.t.

Hakikatnya perkahwinan di usia muda bukanlah suatu masalah sebaliknya adalah suatu cabaran. Terpulanglah kepada setiap insan dan pasangannya bagaimana untuk menghadapi dan mengatasi cabaran

tersebut. Jangan jadikan perkahwinan sebagai satu alasan untuk mewujudkan suatu masalah baru.

Usaha Kerajaan Negeri Melaka mewujudkan sebuah sekolah bagi menempatkan pelajar yang hamil adalah suatu usaha murni yang perlu dikaji pelaksanaannya bagi diadaptasi di peringkat nasional.

Tiada salahnya menanggung mereka yang berkahwin di usia muda berbanding menanggung dosa anak yang berzina dan melahirkan anak di luar nikah. Memetik kata-kata Menteri Besar Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam

“Sekarang saya ada masalah budak mengandung, tapi tak ada suami, jadi kerja kita yang pertama adalah mengahwinkan dia dengan lelaki yang menyebabkannya mengandung, lepas itu, remaja perempuan itu boleh sekolah. Jadi apa salahnya?”.

Tidak ada masalahnya perkahwinan yang dibina oleh pasangan yang sama-sama muda. Biarlah mereka berkahwin seandainya itu adalah jalan yang terbaik. Apa yang penting ialah tanggungjawab dan peranan suami isteri untuk menjamin keharmonian institusi perkahwinan yang dibina. Apa pun, semuanya terpulang kepada individu itu sendiri.

Usia bukanlah formula kebahagiaan dalam perkahwinan. Sebaliknya, keinginan dan keupayaan melayari mahligai dan kehidupan yang dibina dengan matang dan penuh tanggungjawab. Memang benar realiti kehidupan sebelum dan selepas berkahwin adalah berbeza. Namun, apa salahnya kahwin muda?

Disediakan oleh:

DIANNEE NINGRAD BT NOR AZAHAR

Komen anda