Cinta sepatutnya membahagiakan. Cinta sepatutnya menggembirakan. Kan?

Namun ada orang sebenarnya dia tidak perasan yang dia sebenarnya sedang terseksa dalam hubungan cinta. Ini kerana dia terlalu sayang kepada si dia sehingga membuatkan dia menutup mata. Semuanya demi menyorokkan kedukaan kerana perasaan sayang yang melampau.

Jangan benarkan diri anda diperlakukan sedemikian. Jangan menipu diri sendiri. Jangan jadikan hati anda mangsa kerana perasaan sayang tak tahu hujung pangkal.

Ingin tahu apa bukti anda terseksa dalam hubungan cinta? Nah, ini dia!

1) TERLALU MENURUT KATA SI DIA
Mulut anda bagaikan terkunci untuk membantah kata-kata si dia. Padahal dalam hati, anda nak sangat berkata ‘tidak’. Tapi disebabkan tidak mahu si dia berkecil hati, anda dahulukan si dia sehingga sanggup menyakiti hati sendiri.

2) TAKUT SI DIA MARAH
Tiap kali bersama si dia, anda sebenarnya selalu takut-takut. Takut si dia marah. Anda berusaha untuk jadi seperti mana yang si dia mahukan. Anda dah jadi orang lain. Sudah bukan diri anda yang sebenar.

3) DALAM HIDUP ANDA HANYA ADA DIA
Walau kawan-kawan banyak dah komplen yang anda ini sebenarnya angau, anda tetap hanya nampak dia. Apa-apa sahaja dalam hidup anda mesti kena rujuk pada dia. Semuanya demi sayang dan tak mahu si dia marah, kecil hati, merajuk.

4) HANYA PENDAPAT DIA. PENDAPAT ANDA KENA TOLAK TEPI
Sebuah hubungan sepatutnya kena ada komunikasi dua hala. Namun kalau anda tidak boleh bersuara langsung, itu sudah jadi bagaikan hidup dalam penjara. Namun anda OK dengan semua itu demi jaga hati dia. Nampak sangat anda terseksa tetapi anda cuba melawan semua perasaan itu.

5) DIA TIDAK MENYOKONG ANDA PUN
Ketika anda sedang sedih misalnya tidak dapat bonus tahunan, si dia langsung tidak memberikan kata-kata semangat. Anda ingin dia meredakan kesedihan anda. Namun bagi dia, itu semua tidak penting. Masih tak perasan lagi ke yang anda terseksa sebenarnya?

6) HIDUP ANDA BAGAIKAN ADA CCTV
Selesa ke kalau semua tindakan anda bagai dipantau CCTV? Anda sebenarnya berada dalam keseksaan apabila semua tindakan anda dipantau oleh dia. Anda tiada privasi. Namun anda tetap OK kerana terlalu sayangkan dia.

7) ANDA RELA TERLUKA
Apa sahaja yang dia buat, anda rela. Apa sahaja yang dia cakap, anda telan. Apa sahaja yang dia perlakukan, anda pasrah. Eh, anda ni ada perasaan ke tak ada? Demi cinta, anda sanggup tempuhi semua ini. Anda perasan tak yang anda sebenarnya terseksa dengan semua ini?

Komen anda