Ramai individu yang belum bertemu dengan jodohnya merasa rendah diri. Ini ekoran sikap negatif yang memenuhi minda. Menganggap diri ‘tidak laku’ kerana tiada yang berminat untuk mengenali diri lebih dekat lantas bernikah. Janganlah sesekali ada perasaan sedemikian.

Jangan sesekali memburukkan diri sendiri. Lebih baik anda tingkatkan keyakinan diri supaya aura positif lebih banyak masuk ke dalam minda. Sekurang-kurangnya anda memupuk semangat untuk menampilkan diri yang lebih baik.

Berfikiran positif boleh mendekatkan jodoh. Tak percaya? Cuba buat dulu. Nah, Bercinta Selepas Nikah berikan 5 cara untuk tingkatkan keyakinan diri.

1) KUKUHKAN IMEJ
Anda kena bijak cari kelebihan diri sendiri. Imej bukanlah semata-mata penampilan diri melalui pakaian. Namun imej ini ialah kebolehan yang anda ada. Misalnya anda pandai menulis. Cubalah asah kemahiran itu dengan menulis cerpen ataupun novel. Buat sesuatu sehingga nama anda dikenali sebagai penulis walaupun hanya di laman sosial.

Selain itu, jika anda minat membuat bisnes online, cubalah asah bakat itu. Biarkan orang kenal anda sebagai usahawan bisnes online. Dari situ imej diri anda akan lebih dikenali dan menjadi insan hebat. Sekali gus keyakinan diri anda akan meningkat.

2) BUAT APA YANG ANDA SUKA
Ketika hidup masih bujang inilah anda boleh buat apa yang anda suka. Misalnya melancong. Kalau sudah berkahwin dan ada anak nanti langkah anda terhad. Jadi, pergilah melancong ke negara yang anda suka dengan kawan-kawan. Ceritakan keseronokan itu di laman sosial, blog atau buku. Pasti keyakinan diri anda meningkat kerana anda akan berasa seronok dapat melawat negara orang.

3) PUPUK SIKAP POSITIF SETIAP HARI
Setiap pagi, pandang cermin dan katakan hal positif kepada diri anda. Misalnya cakap ayat berikut. Saya cantik, saya bijak, saya sihat, saya positif, saya hebat! Luahkan dengan semangat dan senyuman. Cara anda melayan diri sendiri memberi impak besar kepada pencapaian.

4) AKTIF SETIAP HARI
Hidup kena aktif. Aktif bukanlah bermaksud anda kena bersenam atau pergi gimnasium setiap hari. Aktif bermaksud cara anda melakukan sesuatu. Kalau bangun pagi pun tak semangat, macam manalah rezeki nak masuk. Macam manalah jodoh nak dekat. Jadi anda kena aktif dan bersemangat dari bangun pagi sampailah anda hendak melelapkan mata. Jangan murung.

5) BERSYUKUR
Syukuri segala nikmat Allah SWT dan ingatkan diri sendiri tentang semua yang anda ada pada hari ini. Apabila anda fokus pada rahmat-Nya, anda akan kurang mengeluh tentang situasi anda. Ini akan membantu anda rasa lebih positif tentang hidup anda.

Akhir sekali, ingat bahawa status solo anda adalah takdir anda pada masa ini. Terima dengan hati yang terbuka dan sentiasa fikir positif.

Komen anda