Dalam membina hubungan dengan si dia, ada beberapa perkara yang perlu anda elakkan. Ini kerana ada kebarangkalian perkara itu boleh mendatangkan rasa kurang senang lantas anda ditinggalkan. Apatah lagi jika anda dan si dia masih baru lagi dalam membentuk hubungan.

Pandangan pertama atau first impression sangat penting sebenarnya. Jangan rosakkan perkenalan anda dengannya hanya kerana kegagalan membina pandangan pertama yang bagus. Tanpa pandangan pertama yang bagus, bagaimana hubungan mahu berlanjutan ke arah yang lebih serius. Kan?

Bercinta Selepas Nikah memberikan 3 perkara yang selalu berlaku sehingga boleh menjadi punca seseorang itu ditinggalkan.

1. MENYIASAT LATAR BELAKANG SECARA MELAMPAU

Pada hari ini, kita boleh menyiasat latar belakang seseorang di laman sosial misalnya facebook atau instagram. Ini kerana selalunya seseorang itu akan memuat naik aktiviti hariannya di laman sosial. Justeru kita boleh tahu pekerjaannya, kegemarannya, siapa rakan-rakannya dan pelbagai maklumat lain di laman sosial.

Jadi anda bolehlah menyiasat siapakah sebenarnya si dia di laman sosial. Namun jika anda terlalu melampau membuat penyiasatan, ianya boleh mendatangkan rasa kurang senang atau annoying pada si dia.

Contohnya jika anda lihat ada seseorang yang kerap LIKE atau komen di status si dia, lantas anda asyik bertanya siapakah orang itu. Atau anda asyik tag si dia dengan status-status anda yang mungkin tiada kena mengena dengan si dia. Pasti dia rasa terganggu sehingga akhirnya anda ditinggalkan kerana dia tidak selesa dengan anda.

Paling tidak boleh diterima ialah apabila anda dan si dia masih baru dalam hubungan namun anda sudah tidak sabar-sabar hendak menukar relationship status dengan si dia. Adui. Sabarlah sikit, dik.

2. SIKAP TIDAK SERIUS

Wanita selalunya lebih tertarik kepada lelaki yang melayan dirinya secara istimewa. Misalnya anda tunjukkan sikap ambil berat. Pagi-pagi bagi ucapan selamat pagi di WhatsApp. Kemudian tanya apa makanan tengah hari. Atau mungkin sekadar tanya pakai baju warna apa hari ini ke pejabat.

Jarang orang perempuan rasa terganggu dengan sikap ambil berat sebegitu. Ini kerana wanita memang suka diambil berat dan hal ini membuatkan dia rasa istimewa.

Justeru jika si lelaki tidak menunjukkan sikap ambil berat, wanita akan menganggap anda tidak serius dengan perhubungan. Tidak mustahil wanita ini tadi akan meninggalkan anda dan pergi kepada lelaki yang lebih ambil berat kerana dia mahukan seseorang yang serius dalam perhubungan.

3. TERLALU MENGONGKONG

Ya, wanita memang suka dengan seseorang yang ambil berat tetapi jangan melampau. Lelaki perlu faham dua situasi berbeza iaitu ambil berat dan mengongkong. Jangan sampai wanita itu tidak boleh berkawan langsung dengan lelaki di pejabatnya kerana anda terlalu ambil berat dengan siapa dia berkawan.

Sehinggakan WhatsApp group yang dia ada pun anda hendak pantau. Oh, sikap begini sangat merimaskan. Justeru jangan pelik jika anda tiba-tiba kehilangan si dia. Tiada orang yang suka dikongkong. Sikap ini boleh hancurkan hubungan anda. Menjaga dan melindungi itu bagus, tapi jangan melampaui batas.

Komen anda