Ramai suami ambil mudah apabila isteri merajuk. Biasalah hati orang perempuan ini mudah tersentuh. Tidak susah pun hendak pujuk isteri. Bercinta Selepas Nikah berikan cara-caranya. Semoga bermanfaat.

GUNAKAN KATA-KATA
Kata-kata adalah cara memujuk paling mudah. Anda tidak perlu menggunakan walau sesen pun memujuk isteri dengan kata-kata. Orang kata; guna air liur sahaja. Susun ayat baik-baik, maka mudahlah isteri elok semula.

Namun tidak akan mudah jika anda bukan seorang yang bijak menyusun kata. Anda bukan seorang pujangga yang mahir bermadah. Justeru pasti pecah kepala hendak menyusun ayat untuk memujuk isteri yang merajuk.

Caranya; gunakan telefon bimbit dan taiplah mesej. Hantarkan mesej meminta maaf, berjanji tidak akan membuatkan isteri marah dan katakan anda masih tetap sayang kepadanya. Kata-kata manis boleh membuatkan isteri lembut hati. Namun semuanya bergantung kepada betapa besarnya kesalahan anda.

Jika kesalahan besar, jangan harap anda boleh dimaafkan hanya dengan ‘menjual’ air liur.

PUJUK DENGAN LAGU
Satu lagi cara untuk memujuk isteri ialah dengan menggunakan lagu. Pilihlah lagu yang mengandungi lirik paling sesuai dengan situasi anda. Anda kena rajin-rajin google lirik lagu di Internet dan pilih lirik yang paling kena dengan masalah anda.

Anda boleh pilih sama anda mahu muat turun lagu tersebut dan hantarkan lagu itu ke telefon bimbit isteri. Ataupun hantarkan sahaja lirik lagu itu. Jika isteri lembut hati, pasti anda akan dimaafkan.

PUJUK DENGAN HADIAH
Pujuk menggunakan kata-kata sudah, pujuk dengan lagu pun sudah. Namun isteri masih membatu tidak memberi sebarang respon kepada pujuk rayu anda. Tibalah masanya anda mengeluarkan sedikit bajet untuk memujuk.

Jangan kedekut kerana anda sudah buat salah. Sebagai denda memanglah perlu keluarkan sedikit bajet untuk memujuk. Barulah dinamakan anda menghargai isteri tersayang.

Pergilah ke kedai dan belilah barangan yang isteri suka. Misalnya barangan cenderamata berserta dengan sekeping kad mohon maaf. Cara untuk menghantar? Boleh sahaja kirim kepada kawan-kawannya, ke pejabatnya atau hantar sendiri ke rumah ibu bapanya.

 

Komen anda