Isteri wajib taat kepada suami selagi perintah suami tidak menyalahi syarak. Menyakitkan hati suami adalah salah satu dosa yang wajib isteri minta maaf.

Salah satu cara yang boleh menyakitkan hati suami ialah melalui percakapan. Justeru isteri perlu jaga tutur kata apabila bercakap pada suami supaya suami tidak sakit hati.

Orang kata, lidah lebih tajam daripada mata pedang. Itu sememangnya betul. Terhirisnya hati mendengar kata-kata yang dilontarkan boleh melukakan hati. Walau lukanya sembuh, parutnya tetap ada.

Kerana mulut, badan binasa. Pepatah ini juga ditujukan kepada kata-kata. Ini menunjukkan betapa pentingnya seseorang itu berfikir dengan dalam sebelum menututkan kata-kata kepada orang lain. Bagi seorang ibu pula, kata-kata itu merupakan doa. Justeru berhati-hatilah kata bercakap.

Kami memberikan 3 cara terbaik berbicara dengan pasangan. Semoga menjadi panduan kepada anda.

1) JAGA NADA SUARA ANDA

Bercakap secara lemah lembut menunjukkan kita seorang yang sopan. Tutur kata sebegini melambangkan corak didikan sejak dari awal lagi. Jangan meninggi suara walaupun dalam keadaan marah. Seelok-eloknya kekalkan nada suara supaya tidak menambah buruknya keadaan.

Nada suara tinggi boleh menyebabkan orang yang mendengar jadi marah. Apatah lagi isteri menuturkannya kepada suami. Boleh mendatangkan dosa secara tidak langsung. Jika suami berbuat sesuatu yang menyakitkan hati, tanyalah dengan elok. Jika marah mulai menguasai diri, Islam menggalakkan kita mengangkat wuduk supaya kemarahan menjadi reda.

2) TUTURKAN PERKATAAN YANG ELOK

Ada pelbagai perkataan elok boleh dituturkan. Mengapa masih memilih perkataan yang kasar? Memaki hamun adalah salah satu contoh yang tidak elok dibuat oleh pasangan suami isteri. Apatah lagi jika disaksikan oleh anak.

Kalau marah sekalipun, usah guna perkataan kasar apabila bercakap dengan pasangan. Jangan menyamakan pasangan dengan haiwan, elakkan perkataan bodoh, tunggul, kayu atau apa-apa sahaja dengan tujuan menyakitkan hati

3) ELAKKAN MENYINDIR

Nada menyindir juga sepatutnya dielakkan. Selalunya seseorang itu menyindir dengan tujuan menguatkan hujah secara berkias. Apabila bercakap dengan pasangan, sindir-menyindir memang perlu dielakkan kerana hal ini menambah sakit hati.

Sindiran yang diucapkan kepada pasangan boleh membuatkan pasangan rasa berdendam. Tidak mustahil rasa marah itu boleh semakin meletus pada kemudian hari.

Komen anda