Sikit-sikit cemburu, sikit-sikit cemburu. Memang boleh sentiasa meruncing hubungan kalau salah seorang daripada anda ada sikap cemburu.  Memang ada individu yang mempunyai perasaan cemburu terlalu kuat. Mereka ini mungkin boleh bertindak di luar jangkaan. Mereka cemburu jika pasangan berhubungan dengan orang lain. Perasaan cemburu mereka ini meningkatkan rasa curiga bahawa pasangan mereka mungkin berlaku curang.

Ada yang kata cemburu tanda sayang. Kalau tak cemburu, maka tidak sayang kepada pasangan.

Pun begitu, anda perlulah bijak mengawal emosi cemburu itu supaya tidak keterlaluan lantas digelar cemburu buta. Bahaya perasaan ini kerana anda mungkin boleh berbuat sesuatu yang tidak sepatutnya sehingga membahayakan nyawa.

Sila kawal perasaan cemburu anda. Bercinta Selepas Nikah memberikan sedikit panduan untuk anda:

1) ELAK SALAHKAN PASANGAN

Jangan asyik menyalahkan pasangan anda. Kalau anda selalu melihat si dia salah, maka anda selalu anggap anda betul. Lantas ianya memberikan lampu hijau untuk anda berprasangka dan sekali gus cemburu terhadap pasangan anda walaupun si dia hanya bertegur sapa dengan jiran depan rumah anda.

2) MEMBERI MAKNA MAAF YANG SEBENAR

Apabila anda dikuasai perasaan cemburu, tolong berikan kemaafan kepada pasangan. Misalnya anda cemburu kerana pasangan bertegur sapa dengan jiran depan rumah. Hal itu mungkin bukan salah besar pun. Namun jika anda menganggap ianya satu kesalahan, maka maafkanlah dia dalam erti kata sebenar. Jangan mengungkit.

3) BERI MASA PADA DIRI SENDIRI

Seorang yang kuat cemburu perlu sedar bahawa dia sememangnya ada sifat buruk ini. Anda perlu sedar dan ambil masa untuk berubah. Cuba jangan cepat prasangka dan bertindak sehingga membuatkan pasangan anda lemas dengan sikap anda.

4) POSITIFKAN DIRI

Dalam apa-apa hal dalam kehidupan ini, anda perlu positif. Memang mudah untuk menuturkan kata-kata positif. Namun anda bukan setakat perlu menuturkannya namun mengaplikasikannya dalam kehidupan.

5) JANGAN CEPAT PRASANGKA

Orang cemburu jangan mudah berprasangka buruk. Jangan biarkan hal prasangka itu menguasai diri.

6) TANYA DIRI SENDIRI
Sila tanya diri anda kenapa anda perlu cemburu. Adakah isu yang hendak dicemburukan itu berbaloi untuk anda marah tak tentu pasal?

7) LETAK DIRI DI TEMPAT PASANGAN
Cuba sesekali anda letak diri anda di tempat pasangan. Adakah anda sanggup asyik dimarah dan dihambur kemarahan disebabkan cemburu? Kalau jawapannya tidak, jadi tak perlulah cemburu.

8) SILA BERANIKAN DIRI
Cemburu selalunya berkait rapat dengan ketakutan iaitu anda takut kehilangan pasangan. Anda perlu faham bahawa apa yang kita ada hanyalah sementara sahaja.

9) SIBUKKAN DIRI
Tak perlulah buang masa fikir hal remeh pasangan anda berbual sekejap dengan jiran sebelah atau mana-mana orang yang boleh dia kahwini. Kalau semua anda fikir secara serius, memang boleh sakit kepala. Sibukkan diri dengan hal lain misalnya hal kerja.

10) DAPATKAN RAWATAN
Jika anda rasakan tahap cemburu anda itu keterlaluan sehingga membuatkan jiwa anda tersepit kesakitan, seeloknya dapatkan rawatan. Berkemungkinan anda ada masalah kejiwaan yang memerlukan rawatan daripada pakar. Jangan ambil remeh kerana hal ini berkemungkinan berlaku.

 

 

 

Komen anda