Ilmu pengetahuan adalah perkara utama yang perlu dimiliki oleh seseorang. Kita perlu melengkap diri dengan ilmu pengetahuan supaya dapat merencanakan kehidupan dengan lebih baik.

Ilmu pengetahuan ini bukanlah dapat diperoleh melalui pendidikan formal tetapi turut sesuai diadaptasikan daripada pengalaman ataupun pemerhatian sekeliling.

Misalnya, ilmu rumahtangga. Ilmu ini memanglah akan diajarkan dalam kursus kahwin ketika kita mula-mula hendak menjadi raja sehari suatu ketika dahulu. Namun, sebenarnya ilmu ini boleh diperoleh melalui pengalaman dan pemerhatian sekeliling kita.

Pengalaman yang didapati melalui secara tidak formal ini sebenarnya lebih banyak mengajar kita dalam menjalani kehidupan. Bukankah pengalaman adalah guru terbaik untuk mengajar kita mengenai kehidupan?

TELADANI KISAH ORANG LAIN

Melalui pengalaman individu lain juga sebenarnya kita boleh jadikan teladan mahupun sempadan. Apabila kita mendengar mengenai masalah orang sekeliling, kita boleh jadikan itu sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Misalnya, jika orang itu mempunyai masalah dalam hubungan suami isteri, anda boleh jadikan sebagai panduan dalam cara menangani masalah tersebut.

Menjadikan pengalaman hidup seseorang sebagai teladan adalah bagus kerana kita boleh mempraktikkan cara mereka membetulkan kesilapan yang mereka lakukan. Ambil perkara yang bagus berdasarkan pengalaman mereka. Kemudian adaptasikan ke dalam hidup anda sekiranya anda mempunyai masalah yang sama.

Selain itu, anda juga boleh jadikan kisah-kisah bahagia insan lain dalam mengharungi kehidupan suami isteri sebagai teladan juga. Cuba jadikan cara mereka hidup suami isteri dan kebahagiaan itu sebagai panduan untuk anda menjalani kehidupan anda.

Mungkin mereka mengamalkan kaedah terapi perhubungan, misalnya, komunikasi dua hala yang bagus, menghargai pemberian, meraikan hari istimewa, panggilan-panggilan sayang dan manja, kebersihan diri yang terjaga dan sebagainya. Cubalah lakukan perkara yang serupa supaya anda dapat turut sama hidup bahagia seperti mereka.

BACA BUKU MOTIVASI RUMAHTANGGA

Bahan bacaan adalah salah satu cara untuk mendapatkan maklumat yang boleh dijadikan panduan. Kumpulan Media Karangkraf di bawah anak syarikat Alaf 21, Buku Prima dan Karya Bestari ada menerbitkan pelbagai buku motivasi yang boleh diguna pakai untuk kehidupan bahagia suami isteri.

Buku-buku ini ditulis oleh pengarang hebat dalam bidang masing-masing. Dalam buku-buku ini ada panduan serta mesej yang disampaikan. Dengan membaca buku-buku ini, anda boleh mempraktikkan panduan itu ke dalam hubungan suami isteri anda.

Terdapat banyak lagi buku lain yang turut membincangkan isu rumah tangga. Anda perlu banyak membaca kerana aktiviti ini sangat membantu untuk anda kekal bahagia dengan pasangan anda.

Golongan wanita adalah golongan yang suka membaca berbanding lelaki. Justeru sekiranya suami anda kurang gemar membaca, apa yang boleh anda lakukan ialah dengan memfotostat muka surat yang anda ingin suami anda baca.

Kemudian lekatkan di pintu almari pakaian atau lekatkan di peti sejuk supaya dia dapat melihat kertas itu dengan mudah. Dengan ini, sekurang-kurangnya dia akan tertarik untuk membaca kertas tersebut. Nah, mesej anda telah pun sampai.

PENCARIAN DI INTERNET

Internet adalah salah satu punca ilmu yang tidak boleh dinafikan. Walaupun ada banyak maklumat yang kurang sahih ketepatannya, namun anda perlu mengakui bahawa Internet memang menjadi punca maklumat. Sesuai dengan istilahnya Internet gerbang maklumat terbuka.

Sebelum mengambil maklumat yang ingin anda cari, pastikan sumber laman sesawang itu ditulis oleh mereka yang bertauliah. Jangan main ambil sahaja kerana kini sesiapa sahaja boleh menulis blog.

Carilah maklumat yang anda inginkan misalnya mengenai terapi perhubungan suami isteri. Ada banyak laman sesawang yang membincangan mengenai kepentingan keharmonian perhubungan suami isteri dan cara meningkatkan keintiman hubungan suami isteri.

Anda boleh menggunakan maklumat dalam laman sesawang untuk diterapkan dalam perhubungan anda. Pun begitu, bukan semua boleh anda gunakan kerana ada penulis yang menulis mengikut suasana Barat. Kita harus bijak mengaplikasikannya panduan itu mengikut acuan kita sebagai orang Melayu beragama Islam.

PEMBACAAN RISALAH
Risalah ialah kertas-kerta yang dilipat kecil dan selalunya diedarkan dengan cara diletakkan di kaunter, dari tangan ke tangan dan di dalam peti surat di rumah.

Membaca risalah sebenarnya sangat bagus kerana penulisan kertas risalah ringkas, padat, tepat dan berkesan.

Penulisan sebegini dapat terus memberi pemahaman kepada pembaca disebabkan penulisannya yang ringkas serta padat.
Untuk anda yang kurang suka membaca buku, pembacaan risalah sangat boleh membantu. Ada banyak risalah yang bagus dibaca mengenai perhubungan suami isteri. Risalah sedemikian boleh dijadikan sumber maklumat untuk anda yang inginkan panduan perhubungan suami isteri.

PENTINGNYA HUBUNGAN HARMONI SUAMI ISTERI

Hubungan suami isteri perlu dijaga dengan baik apatah lagi jika anda bersifat sensitif. Jika tidak bijak menangani emosi, tidak mustahil akan berlaku perkara kurang elok seperti perceraian.

Tanpa keharmonian, aktiviti intim akan menjadi lebih lemah dan semakin kurang dilakukan. Justeru keharmonian perlulah ditingkatkan dengan cara lain seperti makan bersama, berpelukan tanpa niat berhubung intim, saling melafazkan cinta dan saling memahami.

Keharmonian rumahtangga perlu ditingkatkan supaya anda tidak mudah bosan dengan pasangan. Perlu bijak tangani emosi supaya hubungan kekal abadi.

Keharmonian rumahtangga boleh menjadikan seseorang itu hidup lebih ceria. Banyak masalah rumah tangga boleh membuatkan kita nampak serabut dan tidak ceria dalam hidup. Hubungan menjadi tegang dan selalu marah-marah adalah perkara yang lazim berlaku bagi mereka yang bermasalah dengan pasangan. Dengan ini penyakit pun mudah mendampingi anda kerana stres.

Komen anda