Apabila menjalin hubungan dengan seseorang, ada kala kita tidak pasti adakah hubungan itu sesuatu yang serius ataupun hanya jalinan biasa antara sahabat. Adakah hubungan itu bakal diakhiri dengan perkahwinan? Mungkin kita sudah bersedia namun si dia masih berdiam tanpa mengajak untuk bernikah.

Penat menunggu. Nak bertanya banyak kali, bimbang si dia rimas dan berasa kita terlalu mendesak. Kalau tidak bertanya, kita pula asyik berteka-teki sendirian. Jadi bagaimana cara terbaik supaya si dia lebih terbuka untuk meleraikan persoalan yang selalu bermain di minda kita.

Sementara menunggu jawapan ‘Suka Kat Saya Ke Tak? Bila Nak Masuk Meminang?’ lakukan panduan di bawah.

1.JANGAN DESAK.

Mendesak hanya mendorong si dia buat keputusan yang tidak ikhlas. Takut pula jika anda dinikahi hanya kerana si dia mahu anda diam daripada terus bertanya sesuatu yang dia sendiri pun kurang pasti. Atau mungkin juga kerana dia bimbang anda akan berubah hati lantas dia takut kehilangan anda. Maknanya bukan bernikah pada masa yang betul-betul sesuai dengan keadaan ekonomi dan persediaan mentalnya.

2. JANGAN TARUH HARAPAN TINGGI.

Sandarkan harapan anda kepada ALLAH dengan cara berdoa. Harapan perlu ada cuma jangan terlalu berharap. Terlalu berharap hanya akan membuat anda kecewa. Dalam pada anda berharap itu, berusahalah dengan doa supaya si dia yakin dengan hubungan kalian berdua. Sekali gus jangan lupa berbincang untuk memudahkan hubungan ke arah yang lebih afdal iaitu pernikahan.

3. LETAK DIRI SEBAGAI SAHABAT.

Apabila anda meletakkan diri anda sebagai seorang sahabat, maka fikiran anda akan lebih terbuka. Seorang sahabat selalunya tidak akan merajuk dan mendesak. Jika anda meletakkan diri sebagai kekasih, justeru emosi itu akan menjadi lebih sensitif. Sikit-sikit merajuk dan minta dipujuk. Hal ini menjadikan hubungan anda lebih tegang.

4. BERI TEMPOH.

Hal ini penting. Sesuatu perkara perlu ada tempoh atau deadline. Kalau tiada tempoh, maka entah sampai bila anda terus dibiarkan begitu sahaja. Apatah lagi jika si dia jenis suka melengah-lengahkan. Boleh cuba katakan bahawa ayah anda minta anda akhiri zaman bujang sehingga usia 28 tahun. Jika tidak berkahwin pada usia itu, ayah akan carikan jodoh. Jadi si dia akan lebih pantas berbuat sesuatu.

5. DOA.

Usaha telah dilakukan. Sudah ada calon, cuma tinggal menunggu jawapan yang pasti. Jadi, berdoalah kepada ALLAH supaya segalanya dipermudahkan.

Komen anda