Lelaki dan wanita saling memerlukan. Apatah lagi jika mereka menjadi suami isteri. Ada dua perkara yang saling berkaitan iaitu hormat dan sayang. Tanpa salah satu perkara ini, maka rumahtangga akan jadi hambar.

Lelaki ialah individu yang memerlukan rasa hormat daripada isterinya. Jika isteri tidak hormat pada suami, suami akan rasa dirinya tidak diperlukan. Kala itu hati suami akan jadi keras lantas isteri akan rasa dirinya tidak disayang. Ini menunjukkan lelaki perlukan hormat, manakala wanita perlukan kasih sayang.

Pun begitu perasaan hormat kepada suami akan datang secara semula jadi jika suami ikhlas menyayangi isteri. Jika suami bijak ambil hati, layan dengan baik, rajin memuji dan bertanggungjawab, maka isteri akan hormat kepada suami.

Bagaimana mahu memastikan saling hubungkait atas kedua-dua kehendak ini? Sila semak di bawah ini.

1) JAGA INTONASI SUARA
Isteri yang menjaga intonasi suaranya akan lebih disayangi oleh suami. Jangan sesekali memanggil suami dengan cara menjerit. Apatah lagi jika memanggil dia dengan cara menengking. Maka suami akan jadi kurang sayang sekaligus menebalkan rasa dalam hatinya bahawa isteri langsung tidak hormat padanya.

2) BIJAK KAWAL SITUASI
Jika suami berbuat sesuatu yang salah, jangan terus bangkang atau cuba memperbetulkan dia secara terang-terangan. Diam dahulu. Kemudian apabila keadaan sudah reda, barulah anda cuba perbaiki keadaan dengan cara berhemah. Barulah suami akan semakin sayang kepada anda kerana beranggapan bahawa anda bijak memainkan peranan sebagai isteri.

3) JANGAN PERKECILKAN SUAMI
Ada lelaki yang mahu tampil hebat walaupun dia sebenarnya kurang hebat. Namun sebagai isteri, anda hendaklah memandang suami anda sebagai manusia terhebat yang pernah anda jumpa. Jangan memperkecilkan dia walaupun sebenarnya anda nampak kelemahan suami anda itu. Besarkan jiwanya dan katakanlah bahawa dia sangat hebat. Justeru suami akan semakin sayang kepada anda.

4) TOLERANSI DALAM SEGALA HAL
Suami isteri kena saling bertoleransi dalam segala hal rumahtangga. Misalnya kewangan dan kekeluargaan. Pada bulan Syawal misalnya, jangan guna kuasa veto asyik balik ke kampung sendiri sahaja. Kena bijak atur jadual balik kampung pasangan juga. Barulah isteri lebih hormat pada suami kerana adik dan saksama.

 

 

 

 

 

Komen anda