Pada hari ini, laman facebook sudah menjadi seolah-olah diari bagi sesetengah orang. Hinggakan status facebook juga boleh dijadikan rujukan jika ingin mengingati satu-satu peristiwa dalam kehidupan. Justeru tidak mustahil jika dikatakan facebook sudah menjadi sebahagian dalam kehidupan manusia pada hari ini.

Bagi isteri pula, selalunya apa-apa sahaja situasi yang sweet antara dia dan suaminya pasti akan dimuat naik sebagai status facebook. Harapannya mahu menjadikan situasi sweet itu dapat dikongsi dengan semua rakan di laman sosial tersebut. Misalnya memberikan ucapan selamat hari ulang tahun perkahwinan kepada suami.

Bukan tak boleh memberi ucapan secara berdepan pun. Namun isteri tetap mahu menulisnya di laman sosial facebook.

Tujuannya untuk apa? Hanya isteri yang boleh jawab.

Bagi suami pula, jarang-jarang hendak menulis status di facebook. Walaupun dia mempunyai akaun facebook namun boleh dibilang dengan jari berapa kali sahaja dia menulis status. Bukan seperti wanita yang lebih kerap menulis status. Dalam sehari mungkin tiga status dimuat naik walau hanya status minum teh tarik sedap di kedai mamak.

Ini membuatkan ada isteri yang menganggap suami tidak ambil berat. Suami dikatakan tidak peka terhadap situasi mengenai hubungan mereka.

“Susah sangat ke nak up status pasal anniversary kita kat facebook tu?” Luah isteri.

“Patah ke jari tu kalau nak wish happy anniversary kat facebook tu?”

“Awak langsung tak kisah pun pasal anniversary kita kan?”

Luahan sebegini memang selalu diberikan kepada suami yang amat berat untuk membuat perkara sweet kepada isterinya dengan memuat naik status di facebook.

Sebenarnya begini.

Lelaki dan wanita adalah dua karakter berbeza. Pemikiran kita berbeza. Malah cara kita memandang sesuatu perkara juga berbeza. Inilah indahnya perkahwinan kerana dapat menyatukan dua individu yang berbeza untu hidup bersama.

 

* Lelaki melihat up status untuk mengucapkan selamat ulang tahun perkahwinan sebagai satu yang sangat tidak penting. Sebaliknya lebih bagus jika diucapkan secara berdepan. Yalah, ulang tahun perkahwinan kau-aku. Buat apa nak semua orang tahu.

* Wanita pula melihat hari ulang tahun perkahwinan sebagai satu acara besar dalam hidup. Sebulan sebelum hari itu tiba, diri sudah ternanti- nanti. Tidak sabar nak up status, nak semua orang tahu sudah berapa tahun berkahwin. Tak sabar nak tengok berapa komen atau like yang diperoleh melalui status itu. Tidak sabar nak up semula gambar kahwin.

* Justeru, apabila suami tidak up status itu, kekecewaan mulai melanda. Bagi suami, hal ini tidak penting namun bagi isteri up status itu sangat penting.

* Bagaimana cara meleraikan isu yang nampak remeh bagi suami tetapi amat penting dan boleh bawa bergaduh oleh isteri? Wahai suami, isteri tidak minta anda up status sweet tahap kencing manis dengan isteri setiap hari. Setahun sekali sahaja sudah memadai.

Up status untuk isteri anda demi menggembirakan hati isteri. Tak salah pun kan. Bukan hati orang lain, hati isteri sendiri juga.

Cuba pagi-pagi lagi anda sudah up status mengucapkan selamat hari ulang tahun perkahwinan buat isteri. Tambah pula dengan ucapan terima kasih kerana sudi menjadi suri di hati anda. Pasti isteri tersenyum malah jika anda bernasib baik, dia akan menjadi begitu penyayang dan melayani segala kehendak anda pada hari itu demi menunjukkan kasih sayangnya sebagai isteri. Untung, kan?

 

Komen anda