Walaupun pada bulan Ramadan, isteri tidak memasak untuk sarapan dan makan tengah hari, namun tugas isteri yang bergelar suri rumah tidak pernah surut. Justeru memang sepatutnyalah suami menghargai pengorbanan isteri. Ucapkanlah terima kasih kepada isteri ya.

Setiap hari tugas isteri bermula dengan memasak hidangan sahur. Kemudian menyempurnakan anak dan menyiapkan kerja rumah yang lain misalnya mengemas dan membasuh pakaian. Jika isteri bekerja, dia mulai keluar rumah dan menyiapkan kerja di pejabat.

Isteri selalunya akan mulai memasak juadah berbuka selepas Asar. Bagi isteri yang bekerja pula, dia mulai merencanakan apa yang hendak dihidangkan sebagai juadah berbuka. Jika tidak larat ataupun tidak berkesempatan untuk memasak kerana tersangkut dalam kesesakan jalan raya, maka isteri akan singgah ke bazar Ramadan. Asalkan ada sesuatu untuk dimakan pada waktu berbuka puasa.

Isteri juga selalunya lebih peka dengan jadual anak. Ambil anak di taska atau rumah pengasuh. Justeru tugas isteri pada bulan Ramadan bukannya semakin berkurangan, malah semakin bertambah. Belum termasuk lagi memikirkan baju raya untuk satu keluarga.

Justeru tidak salah jika suami menghargai dan memberikan sesuatu yang istimewa untuk isteri sebagai tanda penghargaan.

3 Cara Mudah Hargai Isteri Pada Bulan Ramadan
1) Belikan juadah berbuka puasa yang isteri suka. Misalnya isteri suka kek keju. Carikanlah kek keju yang sedap dan bawa pulang untuk dimakan ketika berbuka puasa. Senang sahaja kan?
2) Ajak isteri beli baju baru atau tudung baru. Ajak tanpa perlu isteri yang mulakan. Pasti ajakan anda itu disambut dengan senyuman.
3) Berikan duit raya sebagai nafkah tambahan untuk isteri.

Komen anda