Ada banyak cara untuk menawan hati suami. Salah satunya melalui masakan. Jika mahu suami sayang, belajarlah masak hidangan kegemaran suami.

Jom kita ikuti kisah Nur Farah Hani Azahari, 31 yang menjadikan Ramadan sebagai peluang untuk menambah kasih sayang dengan pasangannya Khairul Haykal Rus, 34 melalui masakan.

Suami saya suka makan masakan lauk kampung. Contohnya ikan patin masak tempoyak dan gulai lemak kuning. Jadi, pada bulan Ramadan ni, saya selalu akan masak hidangan lauk-pauk yang suami suka. Maklumlah, bulan puasa. Selalunya kalau lauk yang dihidang itu lauk kegemaran, mesti berselera nak makan.

Kadangkala suami ada juga cakap apa lauk yang dia nak makan. Jadi saya akan cuba tunaikan.

Sebagai isteri, saya cuba masak lauk yang suami suka sebaik mungkin. Saya pernah tengok cara mak mentua masak lauk yang suami suka, jadi saya cuba tiru cara itu. Masa awal-awal kahwin dulu, pernah juga tanya dengan mak mentua macam mana cara mak masak. Selain itu, saya ada juga cari resipi di Internet.

Saya surirumah, jadi saya lebih suka masak sendiri di rumah. Sebelum ini pun saya lebih suka masak walaupun ketika itu saya bekerja. Biarlah simple tetapi masak sendiri. Masak sendiri lebih merapatkan perasaan kasih sayang sebab anak dan suami makan apa yang kita masak. Lagipun, kita boleh pastikan kebersihan dan khasiat makanan yang kita hidangkan itu.

Apabila tiba Ramadan pula, waktu memasak selalunya lebih terhad. Segalanya perlu siap sebelum Maghrib. Jadi saya ada cara untuk memudahkan kerja memasak. Saya akan siapkan terus bahan asas masak untuk seminggu iaitu bawang putih, bawang merah dan cili. Semuanya dikisar terus. Tempoh masa masak lebih singkat.

Lauk untuk sahur pula saya siapkan sebelum tidur. Nak sahur esok, saya panaskan sahaja.

Hidangan berbuka puasa, saya mula memasak jam 5 petang. Pengalaman terbeli lauk yang sudah basi di bazar Ramadan membuatkan saya serik untuk membeli hidangan berbuka puasa.

Komen anda