Memakai inai di jari bagaikan sinonim dengan majlis perkahwinan bagi masyarakan Melayu Islam. Sehinggakan ada yang rasa jika tidak berinai seperti tidak naik seri pengantin. Malah dalam budaya sesetengah masyarakat Melayu, ada majlis malam berinai. Bakal raja sehari akan diraikan dan dipakaikan inai dalam suasana meriah.

Jom kita lihat, apakah hukum memakai inai itu sendiri. Ada yang kata boleh. Ada yang kata tidak boleh kerana seperti budaya agama lain. Apa-apa pun kita lihat apa kata fatwa mengenai pemakaian inai.

Hukum memakai inai ialah:

Menurut Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia memutuskan bahawa: Pemakaian inai pada kedua-dua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja. Manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan.

Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan. Manakala dilarang melukis corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa, ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak.

Pemakaian inai pada kedua-dua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.

Komen anda