Zaman sekarang ini golongan wanita kebanyakannya mempunyai kelebihan dari segi pendidikan dan berpeluang menjana pendapatan sendiri. Hal ini membuatkan wanita mampu dari segi kewangan dan boleh hidup berdikari.

Justeru, kriteria pemilihan suami yang bagaimanakah sebaiknya untuk membuatkan sesuah rumahtangga itu didirikan dengan penuh hikmah supaya tidak pihak yang mengambil kesempatan? Melihat keadaan ekonomi dan juga realiti zaman sekarang, ramai wanita yang hidupnya teraniaya kerana kurangnya tanggungjawab bagi pihak suami.

Pelakon dan penyanyi Norlie Tamam memberikan nasihat kepada wanita yang ingin mendirikan rumahtangga supaya meneliti lima kriteria lelaki yang bagus dijadikan suami. Bicara Norlie ini berdasarkan pemerhatian dan pengalaman hidupnya melihat keadaan rumahtangga masyarakat sekeliling. Norlie ialah anak kepada pelakon Mariaty Husin dan arwah Tamam Idris.

Jom kita baca apa kata Norlie.

5 Kriteria Calon Suami Pilihan Pada Zaman Ini

1) ADA PENDAPATAN
Seorang suami kena ada pendapatan untuk menyara hidup sendiri, isteri dan anak yang bakal dilahirkan. Tanpa hal yang satu ini suami mungkin dipandang rendah oleh isterinya sekali gus menyebabkan isteri jadi kurang hormat. Pada hari ini macam-macam hal menuntut kewangan sebagai kos sara hidup. Jadi, kriteria kewangan kena dijadikan isu nombor satu untuk mencari suami. Walaupun isteri ada duit sendiri, suami kena beri nafkah dan jangan sesekali beranggapan tidak perlu memberi isteri nafkah kerana isteri sudah banyak duit. Wanita yang mahu berkahwin, pastikan bakal suami anda itu ada pendapatan sendiri kecuali jika anda memang reda dengan keadaannya. Pun begitu suami disarankan berusaha.

2) ADA PENGETAHUAN AGAMA
Kalau hendak kahwin, pilihlah lelaki yang ada pengetahuan agama. Lelaki itu kena tahu solat, kena tahan puasa, kena tahu bab zakat fitrah dan juga tahu mengaji al-Quran. Ini asas untuk jadi suami. Seorang suami kena ada pengetahuan agama untuk membimbing isteri ke jalan yang diredai ALLAH. Lebih-lebih lagi sekarang ini zaman teknologi maklumat. Segala benda boleh disebar di lama sosial. Tanpa ilmu agama, tidak mustahil suami boleh tersalah didik isteri hingga membuatkan makin jauh daripada ALLAH. Malah tanggungjawab seorang suami juga adalah salah satu daripada tuntutan agama. Tanpa pengetahuan agama, susah untuk seseorang lelaki itu jadi suami yang terbaik.

3) TAHU TANGGUNGJAWAB
Seorang suami kena tahu tanggungjawab terhadap isteri dan keluarga. Ini termasuklah pada keluarga sebelah isteri. Dia kena terima keluarga sebelah isteri sebagaimana keluarganya sendiri. Hal ini boleh mengelakkan daripada berlakunya salah faham dan berat sebelah. Jika suami menidakkan keluarga sebelah isteri, macam mana nak hidup bahagia? Nanti bila raya nak balik kampung mana pun boleh jadi gaduh.

4) TAHU ERTI PERSEFAHAMAN
Persefahaman maksudnya berkomunikasi dua hala antara suami dan isteri. Anda kena pilih lelaki yang bijak mengawal keadaan jika ada masalah. Lelaki itu hendaklah orang yang boleh dibawa berbincang. Ini kerana kalau ada masalah suami kena tahu cara untuk buka ruang perbincangan. Jangan guna kuasa veto sehingga membuatkan isteri pendam perasaan.

5) ADA RASA CINTA
Untuk berkahwin, perasaan cinta itu kena ada. Pilihlah lelaki yang mencintai diri kita. Ini kerana lelaki yang mencintai kita akan berusaha untuk membahagiakan kita. Namun kena pastikan cinta itu bukannya palsu. Selalunya cinta ini sebelum berkahwin. Nanti selepas kahwin, cinta pun hilang. Jadi kita kena hati-hati. Biarkan dia jadi dirinya sendiri supaya apabila kahwin nanti kita tidak harap lebih-lebih. Senang kata, pilihlah lelaki yang jujur.

Komen anda