Sebagai lelaki, sudah pasti apabila kita mencari pasangan hidup, kita mencari yang sedap mata memandang. Betul tak? Orang kata dari mata jatuh ke hati. Sedap mata memandang bukanlah yang cantik persis model. Sebaliknya yang wajahnya menyejukkan hati, tingkah lakunya mendamaikan jiwa dan tutur katanya penuh lemah lembut.

Jika anda inginkan isteri yang membahagiakan, ada 6 perkara perlu anda perhatikan. Semoga berjaya mendapat isteri impian.

PERTAMA – Betulkan niat. Jangan berkahwin semata-mata kerana nafsu. Jangan berkahwin kerana mahu membuli isteri menguruskan segala-galanya untuk anda seperti pembantu rumah. Sebaliknya berkahwinlah kerana mahu mengikut sunah nabi. Kahwin untuk menghalalkan hubungan dengan insan yang dicintai, mencari pahala dan melunaskan tanggungjawab memikul amanah isteri dan zuriat yang bakal dilahirkan.

KEDUA – Sederhana membuat pilihan. Jika anda meletakkan ciri-ciri wanita impian pada tahap terlalu tinggi, anda akan kecewa. Misalnya anda mahu isteri yang cantik dan pandai memasak. Pada hari ini, tidak semua wanita memiliki kemahiran memasak sebagaimana wanita terdahulu. Ini kerana pada hari ini ramai wanita yang tidak sempat belajar memasak sebaliknya terus ke universiti mendapatkan ilmu akademik yang tinggi. Jadi, berpada-padalah kala membuat kriteria pilihan semasa memilih isteri.

KETIGA – Luaskan pergaulan. Jika mahu mendapat calon isteri solehah sebagaimana impian anda, rajin-rajinkanlah diri mengunjungi lokasi yang sepatutnya. Misalnya masjid, surau dan majlis ilmu. Di situlah tempatnya para wanita muslimah. Jika tidak bertemu dengan wanita itu pun, barangkali anda akan ditemui oleh bakal ibu bapa mentua anda. Siapa tahu, kan?

KEEMPAT – Yakin diri dan rajin mencari. Anda perlu yakin dengan kemahuan anda. Jangan sekejap nak berkahwin, sekejap tak mahu berkahwin. Jika sudah ada kenalan, jangan mahu untuk menyuarakan keinginan anda. Wanita tidak kisah didekati lelaki asalkan caranya dalam bentuk yang menjaga nama baik dan menghormati wanita tersebut.

KELIMA – Ubah gaya hidup. Jika anda mahukan isteri yang baik, maka anda perlu lihat kembali gaya hidup anda. Cukupkan solat fardu, rajin solat sunat, baca al-Quran. Perbetulkan akhlak anda. Insya-ALLAH wanita yang baik akan datang sebagai jodoh anda.

KEENAM – Jaga penampilan diri. Janganlah malas mandi. Mulut dibiar berbau apatah lagi jika merokok. Sisir rambut anda dengan kemas. Jika ada misai dan janggut, rapikannya. Barulah sedap mata memandang. Jika anda mahukan wanita yang sedap mata anda memandang, wanita pun sama juga.

Komen anda