Rumahtangga yang bahagia itu perlu dirancang sejak awal perkahwinan. Bukan hari ini bina, esok terus bahagia. Kena melalui proses dan proses ini menuntut kesabaran. Kebahagiaan boleh dirasai dengan sepenuhnya apabila suami dan isteri bijak merencana rumahtangga.

Bukan mudah untuk melalui sebuah rumahtangga kerana ikatan perkahwinan itu sendiri merujuk kepada dua individu. Apabila dua individu hidup bersama maka banyak isu yang perlu diperhatikan. Perbezaan pendapat dan ketidaksamaan dalam corak pemikiran selalu menjadi hal yang dibangkitkan.

Justeru bagaimana cara terbaik untuk memastikan rumahtangga sentiasa harmoni tanpa perbalahan yang boleh menggugat sesebuah rumahtangga:

1) JANGAN BANGKANG IDEA PASANGAN:
Seandainya anda mempunyai idea yang berbeza dengan pasangan, jangan terus membangkang ideanya. Sebaliknya biarkan dia menerangkan idea yang dia miliki. Selepas itu, terangkan pula idea anda tanpa memburukkan idea pasangan. Kemudian, pilih idea yang boleh memberikan impak lebih baik. Atau mungkin boleh gabungkan kedua-dua idea itu untuk mendapatkan sesuatu di luar jangkaan.

2) JANGAN SUKA MENGUNGKIT:
Dalam rumahtangga, keharmonian itu boleh tergugat apabila ada sikap suka mengungkit. Apa sahaja yang dibangkitkan ketika emosi tidak stabil boleh menjadi bahan pergaduhan. Ungkit-mengungkit sesuatu yang pernah diberikan sebelum ini memberikan kesan tidak elok kepada emosi pasangan. Justeru elakkan mengungkit jika sedang bergaduh.

3) JANGAN ADA ORANG KETIGA:
Rumahtangga juga boleh bergoncang dengan adanya orang ketiga. Usahlah cuba-cuba untuk bercinta dengan orang lain sedangkan diri sudah berkahwin. Jika suami ingin berpoligami, silalah berbincang sebaik-baiknya dengan isteri supaya isteri boleh menerima ketentuan ini dengan sepositif yang mungkin.

4) JANGAN PEDULI CAMPUR TANGAN ORANG LUAR:
Rumahtangga juga boleh jadi musnah jika terlalu banyak campur tangan daripada orang lain. Elakkanlah orang lain boleh masuk campur dalam hubungan anda suami isteri.

5) DIRIKAN SOLAT DAN BACA AL-QURAN:
Perjalanan rumahtangga yang sempurna selalunya berlangsung dengan baik apabila setiap ahli keluarga mendirikan solat. Jangan lupa untuk turut mengaji al-Quran bagi ‘menjernihkan’ suasana dalam rumahtangga. Orang yang tidak solat memang sukar untuk menemui kebahagiaan dalam rumahtangganya kerana dia terlalu jauh daripada rahmat ALLAH.

6) DIDIK ANAK-ANAK:
Didiklah anak-anak sebaik mungkin. Semoga anak-anak anda membesar dengan baik dan menjadi manusia yang menjaga nama baik keluarga. Bukan sedikit rumahtangga yang asyik bercelaru kerana anak-anaknya buat hal.

 

Komen anda