Bercinta sepasang kekasih boleh mendorong kepada perlakuan tidak manis dipandang mata. Ini kerana perbezaan antara cinta dan nafsu itu hanyalah senipis kulit bawang.

Memiliki perasaan untuk dicintai dan mencintai adalah lumrah alam. Semua orang memiliki perasaan tersebut. Teringat akan si dia, terkenang bicara manisnya, terbayang-bayang perlakuan romantiknya. Namun ingatlah, usahlah kita menyemai cinta dan disulami dengan dosa.

Dosa kala bercinta ialah apabila kita asyik teringatkan si dia sehingga disulami dengan perasaan syahwat. Hal ini membawa kepada perkara negatif dan berdosa. Kita dilarang membayangkan yang bukan-bukan.

Selain itu, seseorang juga boleh berdosa dengan cinta apabila jalan berpegang tangan atau duduk berdua-duaan di lokasi yang tersorok. Jangan sesekali berbuat demikian kerana ianya boleh menghampiri zina.

Semailah cinta anda dengan sebaik-baiknya tanpa disulami dengan dosa. Cinta itu tidak salah. Yang membuatkan cinta itu berubah menjadi dosa ialah apabila kita mencampur-adukkan dengan perkara yang haram di sisi agama dari segi pergaulan.

MENGEHADKAN PERTEMUAN

Bertemu dengan kekasih boleh mengundang rasa gembira. Namun sebenarnya hal ini tidak elok dilakukan kecuali jika pertemuan itu disertai oleh orang tua atau ahli keluarga. Janganlah asyik bertemu dengan kekasih misalnya berdua-duaan berjalan di di pusat beli-belah, menonton wayang atau keluar bersantai.

Untuk mengelakkan dosa, hadkanlah waktu anda bertemu dengan si dia. Biarlah perasaan cinta itu disemai dari jarak jauh asalkan tidak membawa kepada dosa. Untuk bertemu, dapatkan persetujuan daripada kedua-dua belah ibu bapa. Jangan bertemu sorok-sorok kerana hal itu boleh mengundang akibat yang buruk.

USAH MELAMPAUI BATAS

Dalam soal perhubungan, ada banyak cara untuk seseorang itu berhubung dengan individu lain. Penggunaan aplikasi di telefon bimbit merupakan salah satu cara yang sangat popular. Hanya dengan ada nombor telefon dan talian Internet, anda sudah boleh berhubung.

Justeru, apabila berkomunikasi dengan kekasih di telefon bimbit, biarlah berpada-pada. Usahlah melampaui batas dengan bermesej yang bukan-bukan menyatakan rindu-rinduan sehingga menaikkan syahwat.

Hal seperti ini jika dilakukan sekalipun tiada sesiapa yang tahu. Ini kerana telefon bimbit merupakan milik peribadi. Justeru segala dosa yang anda lakukan itu terlindung daripada pengetahuan sesiapa pun. Elakkanlah hal ini daripada berlaku kerana walaupun tiada sesiapa yang tahu perbuatan anda itu, Allah telah tahu kerana Dia Maha Mengetahui.

DEKATI AGAMA

Cubalah menjadi individu yang baik yang menuntun kekasihnya ke jalan yang lebih baik. Janganlah mengarahkan kekasih anda itu ke jalan yang mungkar. Bukankah lebih baik sama-sama belajar menjadi manusia yang lebih berkualiti demi meraih cinta Allah.

Lebih baik anda berdua sama-sama memupuk ilmu agama kerana bakal menjadi suami isteri. Pastinya anda mahu keluarga yang bakal dibina nanti merupakan keluarga yang dilimpahi rahmat Allah. Jadi, elakkan dosa kala bercinta, nikmati rahmat Allah bersama-sama.

 

Komen anda