Jodoh ada di mana-mana. Anda pasti akan bertemu dengannya pada masa yang tepat mengikut kepada ketentuan yang ALLAH telah aturkan.

Jom ikuti kisah Zunaini binti Telimik, 39 tahun, mengenai kisah kenangan manis bertemu jodoh dengan suaminya, Mashaizal bin Mohd, 42 tahun. Ketika itu mereka berdua bertugas di pusat mengundi Sijangkang pada PRU Ke-10.

Saya masih ingat memori manis dalam hidup. Ketika itu saya menemankan senior bertugas di pusat mengundi Sijangkang. Di situlah bermulanya kisah saya dan suami kerana suami asyik memerhatikan saya yang sedang bertugas. Kalau saya tahu suami asyik memerhatikan saya, sudah pasti saya tak boleh buat kerja.

Ketika PRU10, kami belum saling kenal. Selepas PRU barulah saya dapat tahu suami ingin berkenalan selepas berkenan kerana memerhatikan saya bertugas di pusat mengundi itu. Orang yang memperkenalkan saya dengan suami ialah senior saya itu. Senior saya sekampung dengan suami. Saya memang percaya dan respek pada beliau sebab beliau disegani serta salah seorang pemimpin semasa di kampus.

Selepas berkahwin barulah suami bercerita mengenai kisah bagaimana dia menaruh minat pada saya. Sebenarnya dia sudah ada calon yang diperkenalkan oleh seseorang. Namun apabila senior saya bertanya bila nak kahwin, suami kata tolong carikan budak ni. Dia maksudkan saya. Selepas dua minggu, senior kenalkan kami berdua.

Pun begitu, ketika suami minta izin hendak meminang, ayah tak benarkan. Ayah suruh habiskan belajar dahulu. Apabila habis belajar, ayah suami datang dengan membawa cincin. Sekali lagi ayah saya suruh balik kerana ayah kata tak perlu bertunang. Saya terpaksa cakap pada suami, kalau ada jodoh kita, adalah. Kalau tiada jodoh, janganlah tunggu saya.

AKHIRNYA JODOH BERSAMA

Pada 31 Ogos 2003, akhirnya saya dan suami bernikah. Bukan saya yang pilih tarikh itu. Segalanya ayah saya yang tentukan. Majlis 11 Januari 2004 pun ayah yang tetapkan. Saya bernikah saing dengan kakak. Saya dan kakak graduan Universiti Malaya. Jadi ayah tetapkan hantaran kahwin nilai yang sama. Kos kenduri kahwin semua ayah tanggung. Wang hantaran daripada pihak lelaki jadi hak mutlak pengantin perempuan.

Istimewanya suami pada mata saya ialah dia memenuhi ciri-ciri suami yang saya mahu. Masa bujang dulu kalau boleh nak suami yang tinggi lampai, chinese look, bertanggungjawab, romantik, tak cerewet pasal makan dan boleh pimpin ke syurga. Alhamdulillah ciri-ciri itu ada pada suami. Dia seorang yang cool, penyabar dan sangat memahami.

Suami jugalah yang jaga saya sepenuhnya masa bersalin dan berpantang dari anak sulung sampai anak tujuh. Saya tak pernah berpantang di kampung walaupun suami anak lelaki tunggal. Dia boleh urus anak-anak ketika saya berkursus.

Apabila tengok suami boleh jaga saya dengan elok masa berpantang anak sulung, masa tu terfikir kalau bersalin banyak kali pun tak apa. Kalau ada rezeki nak tambah seorang lagi sebelum umur masuk 40.

Saya yakin dengan janji Allah. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Kalau kita baik, Allah akan temukan dengan jodoh yang baik juga. Tidak dinafikan memang lelaki suka yang cantik. Tetapi cantik seorang wanita itu sangat subjektif pada pandangan mata lelaki.

Biarlah kecantikan wanita itu menjadi mahal seumpama sebutir berlian yang disimpan di kedai emas, di dalam kotak, disimpan di dalam almari kaca yang berkunci. Hanya boleh dipandang tapi tidak boleh disentuh sesuka hati. Imej dan penampilan perlu dijaga. Tapi biarlah selari dengan kehendak syarak.

Komen anda