Sebagai orang bujang, ada kalanya suasana hari raya boleh jadi kelam apabila ada individu yang bertanya mengenai jodoh. Dalam keadaan masih bujang, belum ada satu pun calon jodoh, macam mana nak jawab soalan cepu emas sedemikian. Justeru tidak hairanlah apabila ada si bujang yang enggan beramah mesra dengan sanak-saudara yang berkunjung ke rumah. Malah malas pula hendak menziarahi mereka.

Soalan cepu emas sebegitu seolah-olah menunjukkan mereka ‘begitu prihatin’ terhadap kita. Pun begitu ada kalanya soalan menjadi begitu sensitif menusuk kalbu kerana kita sendiri sudah habis ikhtiar untuk bertemu dengan jodoh.

Zaman serba maju pada hari ini menuntut wanita turut sama berdaya saing untuk memajukan diri sendiri sekali gus menjana ekonomi negara. Justeru perubahan pada hari ini boleh dikatakan wanita berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan lelaki. Malah ada antara mereka yang berpendapatan tinggi sama ada sebagai pihak pengurusan ataupun bukan.

Hal ini menyebabkan ada wanita yang terlepas pandang mengenai jodoh sehingga akhirnya mereka menyedari kekurangan itu apabila usia sudah lanjut. Pada ketika itu pula mereka mulai terasa sukar untuk bertemu jodoh kerana pendapatan tinggi, jawatan yang disandang, harta yang dimiliki dan juga faktor usia itu sendiri.

Hal ini menyebabkan mereka akur dengan ketentuan Allah dan menganggap jodoh bukan lagi perkara utama yang mereka perlu fikirkan walaupun jauh di sudut hati mereka memahami bahawa berkahwin ialah sunah Rasullullah dan merupakan perkara suci yang dituntut terhadap semua umat Islam.

Bagi yang sentiasa berfikiran positif, mereka menganggap perkara ini sebagai bukan tiada jodoh tetapi sebagai fenomena jodoh lewat.

MALU SEORANG WANITA
Penyerahkan kepada takdir Allah membuatkan kebanyakan wanita yang berdepan dengan fenomena lambat jodoh ini biasanya reda namun tetap berusaha untuk bertemu jodoh. Fitrah seorang wanita yang pemalu membuatkan mereka berusaha tetapi dalam keadaan yang tidak terus terang. Budaya Melayu ada menyebut pergi mencari timba. Hal ini tentu sahaja cuba dielakkan dan usaha dibuat lebih kepada berdoa kepada Allah.

Alangkah malunya jika seorang wanita dikatakan cuba memikat lelaki dan memberanikan diri mengusul seseorang lelaki untuk menjadi suaminya. Pandangan masyarakat atau stigma orang ramai mengenai hal ini sebenarnya sukar untuk diubah. Mereka lebih suka memandang hal tersebut dengan pandangan yang kurang enak padahal hal tersebut tiada salahnya di sisi agama.

Justeru, dalam hal ini wanita yang masih lagi solo lebih rela terus membujang daripada menahan telinga menghadapi cakap-cakap orang ramai mengenai hal tersebut.

CARIKAN JODOH
Apabila seseorang wanita itu masih belum berkahwin, ada kala orang di sekelilingnya yang lebih risau dan resah gelisah menanti wanita tersebut bertemu dengan jodohnya. Hal ini lazimnya berlaku kepada ibu atau ibu saudara yang terdekat. Mereka cuba untuk mencarikan jodoh bagi wanita tersebut. Hal ini memang baik kerana cuba untuk ‘mendirikan masjid’ baru atau melangsungkan perkahwinan bagi mereka yang sepatutnya sudah pun berkahwin.

Pun begitu, ada perkara yang perlu dilihat atau diteliti terlebih dahulu sebelum cuba untuk mencarikan jodoh bagi wanita yang berada dalam fenomena lewat jodoh ini. Apatah lagi jika wanita tersebut mempunyai pendidikan tinggi, bekerjaya dan sudah cukup lengkap kehidupannya, hanya belum ada jodoh sahaja.

Antara aspek yang perlu dititikberatkan dalam soal pemilihan jodoh ialah sekufu. Dalam erti kata ialah seimbang, setara atau sedarjat. Aspek sekufu ini adalah sangat penting dalam perkahwinan walaupun bukanlah menjadi salah satu syarat sah nikah.

Jika seorang wanita berkahwin dengan lelaki yang lebih tinggi darjatnya, tidak mengapa. Namun isu sekufu bakal dipersoalkan jika seorang wanita berkahwin dengan lelaki yang lebih rendah darjatnya. Sekufu dibincangkan dalam soal pendidikan, pekerjaan, keturunan dan paras rupa. Dari segi agama juga turut ada isu sekufu. Misalnya jika wanita itu seorang yang kuat beragama, maka lelaki yang dicalonkan sebagai suaminya perlulah seorang yang turut suka melakukan amal ibadat.

Sekufu dikatakan sebagai hal seorang wanita dan juga walinya. Jika seseorang wanita itu hendak dijodohkan dengan lelaki yang tidak sekufu dengannya maka dia dan walinya berhak menolak. Pun begitu, jika wanita tersebut reda dan walinya juga reda, maka perkahwinan boleh diteruskan.

USAH MENGHINA
Individu yang cuba menjodohkan seseorang wanita yang berhadapan dengan situasi fenomena lewat jodoh ini perlulah mencari jodoh sesuai untuk mereka. Hal ini bukanlah bermaksud wanita ini terlalu memilih dalam soal jodoh sehinggakan tidak kahwin-kahwin walau usia mereka lewat. Sebenarnya pemilihan jodoh sekufu ini adalah supaya mereka tidak berasa terhina dengan bakal jodoh yang cuba disatukan dengan mereka.

Cuba selami isi hati mereka sekiranya anda cuba menjodohkan mereka dengan lelaki yang tidak tamat persekolahan sedangkan mereka adalah mahasiswa lepasan universiti tempatan atau luar negara. Adakah mereka perlu menerima sahaja jodoh yang cuba diberikan semata-mata kerana mereka belum berkahwin walau usia sudah lewat?

Atau bagaimana rasa jiwa mereka apabila anda menawarkan lelaki yang pekerjaannya sangat biasa sedangkan wanita tersebut memiliki pekerjaan dengan gaji lebih lima ribu ringgit sebulan? Adakah jodoh itu sekufu dengan mereka?

Sebenarnya aspek sekufu ini memanglah bukan salah satu syarat shah pernikahan namun sekufu sangat penting demi sebuah perkahwinan yang harmoni. Lelaki adalah pembimbing keluarga dan isteri pula wajib taat kepada suaminya. Namun dalam hal ini, dibimbangi sekiranya isteri tidak mampu melawan perasaan sehingga akhirnya berlaku keadaan yang tidak diingini apabila isteri tidak boleh taat kepada suami hanya kerana dia melebihi suami dalam segala hal.

Apa Yang patut Dilakukan Pada Hari Raya?
– Sembang ramah mesra mengenai sesuatu yang bukan isu sensitif.
– Bermaaf-maafan dan saling lebih mengenali saudara mara yang jarang bersua muka.
– Sama-sama menikmati juadah yang dihidangkan.
– Bersedekah atau berkongsi rezeki dengan memberi duit raya.

Komen anda