Artikel Pilihan
You are here: Home / INSPIRASI / Sakit Putus Cinta: Blogger Ini Kongsi Tip Move On
Sakit Putus Cinta: Blogger Ini Kongsi Tip Move On

Sakit Putus Cinta: Blogger Ini Kongsi Tip Move On

Bercinta tidak menjanjikan kebahagiaan. Pun begitu, ramai yang mengimpikan untuk menemui kebahagiaan apabila bercinta. Perasaan itu tidak salah. Sememangnya manusia mempunyai perasaan untuk dicintai dan mencintai.

Apabila ditakdirkan berpisah kerana putus cinta, bolehkah seseorang itu move on. Mampukah untuk melupakan semua memori manis bersama di dia? Tatkala jiwa meronta untuk melupakan si dia, semakin kerap kenangan itu muncul di depan mata.

Ikuti perkongsian blogger, Uyul Rosli mengenai pengalaman bercinta dan bagaimana dia cuba sedaya upaya untuk move on apabila si dia minta memutuskan hubungan selepas munculnya orang ketiga. Hati yang dirobek lukanya pasti susah untuk sembuh. Walau sembuh pun, parutnya tetap ada. Bercinta Selepas Nikah mendoakan Uyul bertemu dengan insan terbaik untuknya pada masa akan datang.

Ikuti kisahnya:

Kami kenal pada 28 Ogos 2011. Ketika itu si dia merupakan calon Majlis Tertinggi ICT & Multimedia untuk persatuan akademik program fakulti. Sebagai ahli persatuan, kami diwajibkan untuk mengundi calon pilihan. Dari situ mula berkawan dan rapat sehinggalah pada Mei 2012 kami declare untuk serius.

Kami kongsi tarikh lahir yang sama iaitu pada 7 Januari. Yang membezakan adalah tahun saja. Dia 1992 dan saya 1990. Dilahirkan di Batu Pahat dan secara kebetulan nama ayah kami pun sama iaitu Rosli. Sepanjang bercinta, memang famili semua dah tahu. Pada awal awal percintaan kami, sememangnya semua indah indah belaka.

Dia bukan lelaki romantik. Dia banyak ajar saya untuk terus berdikari. Dia tak suap saya dengan hadiah hadiah mahal tapi hadiah paling mahal saya dapat adalah al-Quran dan jam tangan sempena birthday serta konvokesyen ijazah. Saya masih lagi gunakan.

TUNJUK AJAR
Sejak berkawan dengan si dia, saya banyak belajar tentang IT dan design. Dulu saya buta IT tapi sekarang dah pandai. Malahan saya dah boleh design menggunakan Adobe Photoshop atas bantuan dia. Ketika diploma, dia ialah ahli Majlis Tertinggi ICT dan Multimedia. Dari situ, bila ada kerja untuk design, saya jadi tempat rujukan dia. Dia akan tanya, yang ni okay tak, yang ni nak ubah warna apa sesuai. Secara tak langsung, saya yang tak pandai ni pun jadi pandai.

Kalau bab IT pula, software yang kawan-kawan lain tak tahu, saya dah tahu dulu. Sinonim dengan panggilan hacker, sudah tentulah semua benda pasal IT dia tahu. Sampai ke hari ini, kalau orang lain tengok saya power sikit pasal komputer (padahal benda simple), orang akan impress kat saya siap kata saya hebat bagai. Padahal semua si dia yang bagi tunjuk ajar. Dia sememangnya rujukan saya dari dulu lagi.

Saya terjebak dengan dunia fotografi pun sebab dia. Dia tak ada DSLR tapi bab teknikal kamera semua dia tahu. Saya beli DSLR semata-mata nak suka apa yang dia suka, nak tahu apa yang dia tahu. Sehingga ke hari ini, saya dan dia merupakan freelancer jurugambar perkahwinan.

BISNES BERSAMA
Kami buka satu perniagaan online iaitu Redzney Creative Network. Kami berangan, “Kita set up bisnes sendiri jom.” Redzney ialah gabungan nama kami. Saya daftar SSM untuk bisnes ni pada 7 Januari 2016 sempena tarikh lahir kami. Hingga kini, masih lagi bertahan biarpun bisnes ini cuma kecil-kecilan sahaja.

SAKITNYA PUTUS CINTA
Kami bercinta dari 2011 sehingga 2015. Susah senang sama-sama. Dari zaman diploma hingga ijazah. Dia jadi penguat semangat saya untuk belajar lebih rajin, dapatkan keputusan cemerlang. Hidup kami berdua macam belangkas. Ke mana-mana semua berdua. Bahkan, semua barang kami pakai sama. Beg, mouse, iPhone, pencil case ehhh banyak lagilahh. Tak terkata.

Namun, apa yang membuatkan hubungan kami tak tahan lama adalah sebab attitude saya sendiri. Saya seorang yang sangat insecure, kuat cemburu dan over protective sampaikan si dia makin lama makin menjauhkan diri. Kurang keyakinan diri buat saya risau yang si dia akan tinggalkan saya. Pada awal perkenalan, semuanya nampak indah walaupun sememangnya ramai yang kata hubungan kami tak boleh bertahan lama. Malahan ada yang kata saya tak sesuai bergandingan dengan si dia. Namun saya cuba untuk pertahankan hubungan kami.

Seingat saya kami jadi macam ni masa saya di semester akhir dan dia ada dua semester lagi di universiti. Empat tahun tak pernah jauh, tiba-tiba berjauhan rasa janggal sangat. Dia pun mula cari orang lain. Pensyarah kami yang maklumkan dia ada perempuan lain. Yalah, pensyarah kenal kami berdua.

Paling sedih, dia pilih untuk tinggalkan saya masa saya sibuk dengan projek tahun akhir, laporan latihan industri dan internship. Kebetulan masa intern, saya pilih untuk intern di Kluang. Keluarga saya di Batu Pahat. Tuhan saja yang tahu macam mana dari Kluang saya pilih untuk ulang alik ke Batu Pahat setiap hari. Sedih putus cinta. Tak mampu nak duduk Kluang seorang diri. Saya bukan bawa kereta tapi naik motor. Patah pinggang jugalah sejam nak sampai rumah.

Terasa bodoh juga sebab lelaki, saya boleh jadi kurang cerdik, sakitkan diri sendiri, seksa diri sendiri. Hari-hari menangis. Tapi syukur alhamdullillah. Saya grad dengan keputusan cemerlang. Semester akhir saya masih boleh dapat 4 flat. Paper research pula dipilih untuk diterbitkan. Saya anggap itu semua rezeki biarpun ketika menyiapkannya saya macam orang tak betul. Hubungan kami tamat pada 2 Mac 2015. Punca kami berpisah adalah orang ketiga dan sebab perangai saya yang cemburu buta. Saya obses sangat sayangkan si dia.

MOVE ON
Saya akui susah nak move on. Lepas putus cinta saya tekad nak tambat semula hati dia. Saya buat macam-macam. Saya berlagak kami masih bercinta. Banyak kali juga saya cuba move on. Buang gambar kami, minta dia block saya dekat media sosial. Tetap susah nak lupakan dia. Tak boleh nak move on. Masih lagi mengharap keajaiban berlaku. Boleh dikatakan saya terhegeh-hegeh kat dia.

Usaha seterusnya saya deactivate akaun instagram yang ada lebih 3,000 gambar kami berdua. Saya simpan barang kami dalam satu kotak, sorok di tempat takkan nampak. Saya padam semua perbualan kami kerana bila baca balik, saya akan jadi sedih.

Tahun 2018, saya nekad untuk move on. Saya kena peduli hidup sendiri. Umur dah 28 tahun. Saya kena belajar buka pintu hati saya untuk orang lain. Saya dah terlalu tua untuk bersedih pada perkara yang tak sepatutnya.

Saya sedar punca saya susah nak move on kerana saya cukup yakin dia adalah lelaki terakhir dalam hidup saya. Dia adalah jodoh terbaik yang Allah bagi untuk saya. Dia lelaki yang paling paham saya. Dia lelaki yang paling tahu buruk dan baik saya.

Pun begitu, hati saya masih serik untuk dikecewakan lagi. Saya struggle nak move on. Saya kena buktikan saya boleh move on. Saya tak nak stuck lagi dengan kisah cinta tak jadi.

3 TIP POWER UNTUK MOVE ON BILA PUTUS CINTA

i.Beri masa pada diri sendiri
Masa awal-awal putus, saya paksa diri untuk lupakan dia sehingga saya tak sedar saya dah pun seksa diri saya. Tip paling mudah, lets time heal. Biarkanlah masa yang tentukan. Tiga tahun satu tempoh masa yang sangat lama untuk move on. Tapi saya sangatlah bersyukur, sebab akhirnya saya boleh juga move on.

ii.Sibukkan diri
Kita selalu sangat fikir kenangan silam sebab kita banyak masa terluang. Perkara paling mudah untuk lupakan semuanya dengan menyibukkan diri. Langkah pertama saya buat bila dah betul-betul nekad adalah isi masa lapang saya dengan aktiviti yang bermanfaat.

iii.Maafkan diri sendiri dan si dia
Paling penting. Maafkanlah diri sendiri. Semua orang buat silap. Kita tak boleh nak kejar kenangan dan masa silam, benda yang bukan lagi milik kita. Maafkan juga si dia, walaupun memang susah nak maafkan. Usahalah untuk pujuk hati maafkan si dia. Maafkan orang yang pernah lukakan hati kita bukan bermakna kita pengecut tapi itu membuktikan bahawa kita berani untuk teruskan langkah ke hadapan tanpa lihat ke belakang lagi. Hidup pun tenang.

Jodoh tu rahsia Allah. Kan?

(653)

JIKA ANDA rasa artikel ini bermanfaat, klik "LIKE" dan "SHARE" supaya sahabat anda turut sama mendapat manfaatnya.

About Siti Mariam Elias

Isikan maklumat Nama dan E-mel dibawah untuk menerima setiap artikel baru melalui e-mel. Terima kasih. Jazak Allah Khayr.

Delivered by Bercinta Selepas Nikah

Leave a Comments

Scroll To Top
shared on wplocker.com