Artikel Pilihan
You are here: Home / TAZKIRAH / ‘HAPPY ENDING’ SEBENAR DALAM KISAH SULAYMAN & BALQIS
‘HAPPY ENDING’ SEBENAR DALAM KISAH SULAYMAN & BALQIS

‘HAPPY ENDING’ SEBENAR DALAM KISAH SULAYMAN & BALQIS

“HAPPY ENDING” SEBENAR DALAM KISAH SULAYMAN DAN BALQIS

Oleh: Abdullah Bukhari bin Abdul Rahim.

Nota Kelas Tafsir Selasa (al-Naml [27:43-44]) pada 19 Mei 2015. Antara isunya adalah pengakhiran bahagia kisah nabi Sulayman AS dan Balqis dalam surah al-Naml.

“Sang puteri atau si gadis mulia AKHIRNYA berkahwin dengan putera raja yang dicintainya, lalu bahagialah hidup mereka sehingga ke anak cucu (they live happily ever after).”

Itulah “RUKUN” kisah cinta dalam kebanyakan hikayat dongeng dunia. Sebut sahaja siapa gadis atau puterinya, “Sleeping Beauty, Snow White, Cinderella” dan sebagainya, kesudahannya pasti berakhir perkahwinan bahagia lagi meriah. Tanpanya cerita tersebut akan jatuh “ratingnya.”

Dalam al-Quran, Allah menyebut kisah pertembungan antara nabi Sulayman AS dan ratu Saba’ yang dikatakan bernama Balqis. Al-Quran adalah sebuah kitab hidayah dan bukannya buku “jiwang” atau madah orang bercinta. Pertembungan antara mereka berkisar atas perjuangan Tawhid dan Syirik kepada Allah. Balqis asalnya menyembah matahari. Akidahnya itu dibentuk oleh budaya asal kaumnya:

وَصَدَّهَا مَا كَانَتْ تَعْبُدُ مِنْ دُونِ اللَّهِ إِنَّهَا كَانَتْ مِنْ قَوْمٍ كَافِرِينَ

Ertinya: Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir (al-Naml[27:43]).

Akidah Balqis dibentuk oleh ibu bapanya. Benar sekali sabda Rasulullah:

كُلُّ مَوْلُودٍ يُولَدُ عَلَى الْفِطْرَةِ فَأَبَوَاهُ يُهَوِّدَانِهِ أَوْ يُنَصِّرَانِهِ أَوْ يُمَجِّسَانِهِ

Ertinya: Setiap bayi lahir atas fitrah (Islam yang suci), maka kedua ibu bapanya bertanggungjawab menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi (Sahih al-Bukhari & Muslim).

Dalam kisah mereka, nabi Sulayman AS memainkan peranan besar menyampaikan dakwah. Setelah menghayati kisah ini, kita sepatutnya memiliki “jiwa dakwah” seperti baginda nabi Sulayman AS. Jika tak mampu mengatur langkah dakwah seperti baginda AS sekalipun, cerminkanlah Islam pada diri kita dengan akhlak Islam yang sebenar. Jaga kebersihan, bersikap adil, sopan, mematuhi janji, tidak menyakiti orang lain, menghormati manusia, mencintai alam dan sebagainya. Bila bukan Islam tergoda dengan mulianya akhlak kita, jawablah dengan bangga “INI YANG DIAJAR AGAMA SAYA! JIKA ANDA MAHU MENJADI SEPERTI SAYA, PILIHLAH ISLAM, ANDA PASTI BERUNTUNG!” Itu juga dakwah senyap yang mudah dan praktikal. Mudah-mudahan akan ada Balqis moden menerima Islam kerana kita.

Pengakhiran bahagia kisah mereka berdua adalah dengan Islamnya Balqis:

قِيلَ لَهَا ادْخُلِي الصَّرْحَ فَلَمَّا رَأَتْهُ حَسِبَتْهُ لُجَّةً وَكَشَفَتْ عَنْ سَاقَيْهَا قَالَ إِنَّهُ صَرْحٌ مُمَرَّدٌ مِنْ قَوَارِيرَ قَالَتْ رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي وَأَسْلَمْتُ مَعَ سُلَيْمَانَ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ

Ertinya: (Setelah itu) dikatakan kepadanya: “Dipersilakan masuk ke dalam istana ini.” Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. Nabi Sulaiman berkata: “Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca”. (Mendengar yang demikian), Balqis berdoa: “WAHAI TUHANKU, SESUNGGUHNYA AKU TELAH MENGANIAYA DIRI SENDIRI DAN (SEKARANG AKU MENEGASKAN BAHAWA) AKU BERSERAH DIRI MEMELUK ISLAM BERSAMA-SAMA NABI SULAIMAN, KEPADA ALLAH TUHAN SEKALIAN ALAM ” (al-Naml[27:44]).

Istilah “happy ending” pada neraca al-Quran bukan semata perkahwinan gemilang tetapi menutup mata sebagai HAMBA ALLAH YANG BENAR-BENAR ISLAM seperti Balqis. Bahkan tiada satu ayat al-Quran atau hadith yang sahih pun merekodkan perkahwinan mereka berdua. Jika ada pun ia tergolong dalam dakwaan Isra’iliyyat yang masih kelabu kesahihannya. Itulah huraian Imam al-Razi dalam Tafsirnya. Tambah menarik, Imam al-Razi menambah sebuah riwayat yang mengatakan Sulayman tidak berkahwin dengan Balqis, sebaliknya mengahwinkan ratu Saba’ ini dengan pemerintah Negara Hamadan (Tafsir al-Razi). Allahu A’lam.

Bagai dikata, happy ending sebenar menurut neraca al-Quran adalah mati dalam Islam yang sempurna. Inilah manifestasi firman Allah ini:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلَا تَمُوتُنَّ إِلَّا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُونَ

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, “DAN JANGAN SEKALI-KALI KAMU MATI MELAINKAN DALAM KEADAAN ISLAM” (Ali ‘Imran [3:102]).

Ia juga doa nabi Yusuf AS:

رَبِّ قَدْ آَتَيْتَنِي مِنَ الْمُلْكِ وَعَلَّمْتَنِي مِنْ تَأْوِيلِ الْأَحَادِيثِ فَاطِرَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ أَنْتَ وَلِيِّي فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ تَوَفَّنِي مُسْلِمًا وَأَلْحِقْنِي بِالصَّالِحِينَ

Ertinya: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; “SEMPURNAKANLAH AJALKU (KETIKA MATI) DALAM KEADAAN ISLAM”, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh” (Yusuf[12:101]).

Walau mati kita mungkin terseksa demi mempertahankan akidah seperti Sumayyah dan Yasir RA ibu bapa Ammar RA atau ahli sihir Fir’awn yang menerima Islam setelah tewas kepada nabi Musa AS dalam sayembara sihir, mereka itu sebenarnya mendapat HAPPY ENDING SEBAGAI HAMBA ALLAH! Seterusnya berbahagia di akhirat kelak. Manakala si raja seperti Fir’awn atau jutawan seperti Qarun yang mati dalam kekufuran, tidaklah memperoleh HAPPY ENDING yang sebenar. Bukalah hati, hargailah iman dan Islam yang anda miliki. Semoga hidup kita benar-benar beroleh HAPPY ENDING sebenar atau HUSNUL KHATIMAH.

Dipetik daripada nota tafsir wartawan al-quran – abdullah bukhari

(325)

JIKA ANDA rasa artikel ini bermanfaat, klik "LIKE" dan "SHARE" supaya sahabat anda turut sama mendapat manfaatnya.

About Syahidatul Akmal Dunya

Isikan maklumat Nama dan E-mel dibawah untuk menerima setiap artikel baru melalui e-mel. Terima kasih. Jazak Allah Khayr.

Delivered by Bercinta Selepas Nikah

Leave a Comments

Scroll To Top
shared on wplocker.com