Artikel Pilihan
You are here: Home / INSPIRASI / Cinta Sampai Bila Tiba Waktunya
Cinta Sampai Bila Tiba Waktunya

Cinta Sampai Bila Tiba Waktunya

Ini kisah hidup saya. Dari kecil lagi mak dan ayah sudah terapkan nilai-nilai Islam dalam diri kami, terutamanya anak-anak perempuan. Ayah sangat tegas dalam hal pergaulan. Jika dia tahu ada di antara kami yang ada hubungan dengan lelaki, satu rumah akan dengar amukannya.

Tipu kalau saya katakan saya tak minat pada sesiapa. Semasa tingkatan dua, saya pernah juga ada hubungan “cinta islamik” dengan seorang senior tingkatan empat. Mula dengan berbalas surat, ingin bantu dia berubah, kemudian kami sms dan saling bertukar gambar. Sampai satu masa saya tersedar yang saya dah semakin jauh. Saya tersedar yang hubungan kami tak ubah macam orang lain yang bercinta di zaman remaja.

Bila tersedar, saya bertegas untuk putuskan hubungan. Tak mudah, tapi lama-lama dia pun senyap sendiri. Sejak itu saya jadi takut untuk dekat dengan mana-mana lelaki. Saya mahu cinta hanya untuk yang halal. Solat jodoh, biarlah Allah SWT yang tentukan.

Masa terus berlalu. Banyak ujian yang Allah SWT hantarkan untuk saya – terutama tentang lelaki. Ada yang merisik, ada yang memadankan, ada yang cuba memaksa tapi semuanya saya tolak dengan sebaik mungkin. Ada juga yang tak dapat terima bila ditolak, sampai saya disihir selama bertahun-tahun lamanya. Memang derita tanggung sakit. Akhirnya, saya semakin trauma untuk terima mana-mana lelaki dalam hidup saya.

Hinggalah kira-kira dua tahun yang lalu, muncul seorang lelaki yang menjadi kawan rapat abang saya. Pada mulanya saya tak berapa hiraukan kewujudan dia, Cuma nampak dia tolong abang semasa ada majlis di rumah kami. Mak dan ayah saya memuji sebab dia rajin dan ramah dengan semua orang. Yang saya tahu, namanya Zack. Itu saja.

Mungkin dah tertulis, saya dan dia sama-sama jadi ahli jawatankuasa surau dekat dengan rumah kami. Semasa majlis taaruf, saya dapat tahu rumahnya tak jauh dari rumah saya. Cara dia cakap pun agak tergagap-gagap, macam kurang keyakinan.

Sepanjang kami bekerjasama dalam urusan surau, saya perasan dia banyak buat kerja di sebalik tabir. Diam dan tak berapa menonjol. Sikapnya yang sangat merendah diri buat banyak buat saya muhasabah diri sendiri.

Lama-lama, saya perasan ada rasa lain yang timbul dalam diri. Dalam diam, saya kagum pada dia. Ada masanya saya menangis sebab takut perasaan ini jadi fitnah. Saya minta Allah SWT hilangkah perasaan ini kalau dia hanya ada untuk singgah di hati saya. Sebaliknya kalau Zack adalah lelaki yang terbaik untuk saya, saya serahkan semua padaNya. Semoga Allah SWT mudahnya segalanya.

Kini setelah dua tahun, saya terkejut bila dapat tahu yang Zack merisik tentang saya melalui abang.

Saya menangis semahunya dan terus sujud syukur pada Allah. Ternyata Dia mendengar doa saya selama ini.

Saya ambil masa seminggu untuk beri jawapan. Memang saya kagumi dia. Saya nampak sendiri dia bersungguh untuk belajar ilmu agama. Dia juga tak malu untuk belajar dengan orang yang jauh lebih muda. Tapi soal jodoh, saya tetap tak mahu buat keputusan terburu-buru.

Lepas seminggu istikharah, saya buka mulut bertanya pada keluarga. Alhamdulillah, mereka redha.

Saya pun terima risikan Zack melalui abang. Kami pun bertukar biodata melalui email. Dua minggu kemudian, keluarga Zack datang untuk beri cincin tanda di jari saya. Selepas itu kami ikuti dengan majlis bertunang yang serba ringkas.

Kini kami sedang buat persiapan untuk ke alam pernikahan. Syurkur pada Allah SWT yang banyak memudahkan perjalanan kami. Walaupun kami kurang berkomunikasi, saya tenang. Bila ada hal, dia akan bercakap dengan abang atau mak ayah saya. Dengan saya, hanya bila perlu.

Buat semua yang membaca coretan ini, doakan kami berjaya di alam seterusnya. Doakan rumahtangga kami nanti diredhai Allah SWT.

Pesan saya, percayalah bahawa siapa pun kita di masa lalu, kita sentiasa boleh berubah. Jangan takut untuk hidup dengan mengikut ajaran Islam. Untuk setiap kepahitan yang kita telan, pasti ada kemanisan yang menanti. Yakin dengan kuasa Allah SWT, kerana Dia yang menciptakan kita, dan Dia yang pegang hati-hati kita.

Kisah ini adalah kiriman pembaca Bercinta Selepas Nikah. Anda ada cerita untuk dikongsi? Emailkan kepada naquiah@karangkraf.com

(16698)

JIKA ANDA rasa artikel ini bermanfaat, klik "LIKE" dan "SHARE" supaya sahabat anda turut sama mendapat manfaatnya.

About Naquiah Noor

Isikan maklumat Nama dan E-mel dibawah untuk menerima setiap artikel baru melalui e-mel. Terima kasih. Jazak Allah Khayr.

Delivered by Bercinta Selepas Nikah

Leave a Comments

Scroll To Top
shared on wplocker.com