Selalu kita dengar para lelaki bujang mengeluh dengan nilai hantaran yang perlu diberikan kepada pihak perempuan. Malah ada yang mengatakan lebih rela membujang kerana tidak berkemampuan untuk menyediakan wang beribu ringgit demi melangsungkan perkahwinan.

Justeru ada yang menyarankan supaya hantaran diletakkan pada nilai yang amat rendah bagi memudahkan proses perkahwinan. Pun begitu, hakikatnya pada hari ini segala barang keperluan untuk mengadakan majlis perkahwinan adalah tinggi. Semurah manakah yang pihak lelaki mahukan sebagai hantaran?

RUNDINGAN

Segala perkara boleh diselesaikan dengan rundingan. Pihak lelaki dan perempuan perlu sama-sama ikhlas. Pihak lelaki beritahu nilai yang termampu untuk diberikan sebagai wang hantaran. Ini kerana wang hantaran inilah yang akan digunakan untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Dinasihatkan supaya kedua-dua belah pihak tidak memasang impian untuk mengadakan majlis perkahwinan yang gah sehingga memerlukan belanja besar. Berpada-padalah mengikut kadar kemampuan pihak lelaki dan perempuan. Sebolehnya usah membebankan sehingga bakal pengantin perlu menangguhkan hasrat untuk berkahwin.

PERBELANJAAN BIJAK

Janganlah berlaku pembaziran dalam majlis perkahwinan. Antara pembaziran yang kerap berlaku ialah:
1) Hadiah barang hantaran sehingga berbelas dulang.
2) Bersalin-salin baju pengantin.
3) Membuat sesuatu yang tidak perlu misalnya majlis malam berinai.
4) Mengadakan adat budaya yang tidak perlu misalnya acara memotong kek.
5) Membuat dua kali majlis perkahwinan sebelah perempuan dan kemudian sebelah lelaki dengan alasan majlis menghantar menantu.

Ini sebahagian pembaziran yang kerap berlaku dalam majlis perkahwinan. Ada adat budaya yang boleh ditinggalkan jika anda ingin berjimat dan tidak berkemampuan. Perkahwinan memang perlu diuar-uarkan namun tidak perlulah sehingga anda memperuntukkan beribu-ribu ringgit demi mengikut adat.

Wang hantaran boleh dijimatkan untuk kegunaan pada masa hadapan.

Komen anda