Kita tidak pernah tahu siapa jodoh kita. Lama hidup membujang, ada kala terfikir mungkin jodoh kita tak ada di dunia ni. Hanya jodoh di akhirat nanti agaknya. Namun siapa sangka pada usia lewat 30-an akhirnya jodoh datang menyapa. Walau bekerja di kelilingi ramai orang, rupa-rupanya jodoh dengan orang yang dekat.

Jom kita ikuti kisah jodoh penulis, Suziana Che Wil dengan pasangannya, Kayrul Amry Alimarallah@Yusoff.

Saya dengan suami orang sekampung. Kami satu sekolah dari Tingkatan 1 sampailah Tingkatan 3 di Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1 (SYP1). Lepas tingkatan 3, suami tukar ke sekolah vokasional. Saya kekal di SYP1 sampailah tingkatan enam.

Masa sekolah dulu memang ada kawan-kawan usik kami kata kami couple. Tapi kisah tu terhenti di situ saja. Tak ke mana pun hubungan tu. Saya pula masa sekolah bukanlah jenis yang suka couple.

Sehinggalah saya melanjutkan pengajian di UiTM Shah Alam. Pernah terserempak dengan dia di Shah Alam. Rupa-rupanya dia pun tinggal di Shah Alam kerana kerja di sekitar kawasan itu. Terjumpa sebagai kawan lama saja. Tak ada tukar-tukar nombor telefon pun, sebab tak ada apa-apa perasaan pun.

Lebih kurang tahun 2012 rasanya, kawan sekampung add saya di facebook dan saya lihat suami saya ada dalam senarai friend dia. Entah macam mana, tiba-tiba saya rasa nak add suami sebagai friend. Asalnya hanya nak menambah sebagai kawan je. Maklumlah sekampung. Tak sangka dia pun masih bujang.

Sejak dari itu, kami berhubung melalui inbox facebook dan kemudian bertukar nombor telefon. Ketika berkawan dengan dia, memang ada terasa gerak hati menyatakan bahawa dialah jodoh saya. Perasaan itu tak pernah ada ketika saya ada kenal beberapa lelaki sebelum ini. Berkawan tak lama kami terus serius dan akhirnya bernikah pada November 2013.

CINTA USIA MATANG

Kami bukanlah seperti pasangan orang bercinta yang lain. Kami tak dating, tengok wayang atau makan-makan. Masing-masing sibuk dengan kerja dan tak pernah terniat nak keluar bersama. Mungkin sebab itulah perasaan cinta itu makin subur selepas nikah.

Bercinta lepas nikah bagi saya lebih membahagiakan. Lagipun hubungan dah halal. Pegang tangan ketika keluar bersama pun dah tak berdosa, bahkan menambah pahala.

Saya dan suami sebaya. Kami berkahwin pada usia 36 tahun. Berkenalan pada usia begini bukan lagi waktunya nak suka-suka. Memang berkawan sebab hendak berkahwin. Lagipun masing-masing dah matang. Tak ada masa lagi nak bercintan-cintun tak menentu hala.

Pernah juga kami berseloroh bersama-sama. Kami sekampung, tinggal pun sama di Shah Alam tapi tak pernah jumpa dan terfikir kami akan berjodoh. Kalau tahu, tentu dah lama kami kahwin. Itulah rahsia jodoh ALLAH. Kita tak pernah terfikir pun.

KELEBIHAN CINTA PADA USIA MATANG
1) Selalunya lebih serius sebab cinta itu memang ke arah perkahwinan.
2) Lebih sweet sebab boleh berpegangan tangan dan dah halal.
3) Terhindar daripada fitnah.
4) Tidak buang masa bercinta lama-lama tapi tak kahwin-kahwin.
5) Tak banyak dosa dan nama baik keluarga terpelihara.

Komen anda