Pertunangan ialah satu tempoh yang dilalui oleh lelaki dan perempuan sebelum akad nikah dilafazkan. Dalam masa ini masyarakat Melayu selalu kata pasangan yang bertunang berdarah manis. Maklumlah sudah selangkah ke alam perkahwinan, kan.

Pasangan yang bertunang perlu menjaga tingkah laku. Jangan berfikiran cetek sehingga menganggap diri sudah pun berkahwin sehingga melampaui batas. Ini termasuklah kena bijak menjaga hubungan kerana dikatakan bahawa tempoh bertunang penuh dengan dugaan. Ramai yang menasihatkan jangan bertunang lama-lama kerana bimbang ikatan terlerai sebelum perkahwinan dilangsungkan.

Ayuh kita ikuti kisah Mohd Nur Salam bin Mohd Sharip @ Hassan, 26 tahun, yang sedang melalui tempoh sebagai tunangan orang.

Selepas bertunang, memang saya seronok sangat sebab ini bagaikan bukti bahawa saya ikhlas mencintai tunang saya itu. Memang wujud perasaan gementar kerana saya faham ikatan pertunangan akan membawa kepada tanggungjawab besar selepas berumahtangga nanti.

Pun begitu, perasaan sayang kepada seseorang yang akan hidup bersama dengan saya itu lebih kuat. Perasaan gementar telah memberi saya kekuatan untuk saya lebih bersemangat menempuhi kehidupan berumahtangga akan datang.

Salah satu perbezaan yang saya rasai selepas bertunang ialah banyak dugaan yang datang. Salah satu dugaan yang biasa saya rasa ialah perasaan cemburu berlebihan wujud dalam hati saya kepada tunang saya itu. Bagi mengelakkan sesuatu yang tidak dikehendaki berlaku ialah kami kurangkan berkomunikasi. Hal ini lebih baik kerana jika banyak berkomunikasi pasti perselisihan faham lebih mudah berlaku.

Bagi mempersiapkan diri menggalas tanggungjawab sebagai suami, saya banyakkan bergaul dengan orang yang lebih tua daripada saya. Selalunya saya akan tanya pengalaman mereka berumahtangga. Dari situ saya peroleh banyak ilmu untuk memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Dengan emak pula, saya tanya macam mana hendak melahirkan sebuah keluarga yang harmoni.

Setiap hari saya berdoa supaya ALLAH permudahkan urusan saya dan tunang saya untuk kami berkahwin. Saya percaya kalau kita ikhlas untuk menghalalkan perhubungan, ALLAH akan tolong. Saya percaya pada ketentuan ALLAH. Apa yang penting ialah jaga solat dan sentiasa berdoa supaya diberi kekuatan serta kebahagiaan hingga ke jannah.

Persiapan majlis perkahwinan masih belum dibuat lagi. Saya impikan majlis ringkas namun meriah untuk meraikan tetamu yang hadir. Insya-ALLAH empat bulan sebelum masjlis berlangsung segala persiapan akan cuba kami siapkan. Tarikh perkahwinan berkemungkinan besar pada Mac 2019 nanti.

Komen anda