Jodoh pertemuan semuanya ketentuan ALLAH. Kita tidak tahu di mana, bila dan bagaimana cara kita bertemu dengan jodoh. Pada zaman teknologi serba canggih ini tidak mustahil kita bertemu jodoh di alam maya atau internet.

Laman sosial dilayari berjuta pengguna internet setiap hari. Daripada sekadar suka-suka dan bisnes, ada juga antara mereka yang cuba mencari jodoh. Bercinta Selepas Nikah menampilkan kisah Shakinah binti Haron, 28 tahun dan suaminya, Mohamad Nabil bin Ahmad Razae, 27 tahun mengenai perkenalan di facebook yang diakhiri dengan pernikahan.

Jom ikuti kisah mereka.

Kami berkenalan pada bulan puasa 2010 melalui facebook. Dia add saya sebagai friend dan kami selalu chatting. Sebelum approve tu, saya stalk dulu facebook dia. Tengok gambar-gambar dia. Kalau mencurigakan, saya tak approve.

Ketika itu, saya semester dua pengajian peringkat ijazah. Dia pula baru dapat result STPM dan belum masuk mana-mana universiti. Setahun kami berkenalan di facebook sahaja tanpa nombor telefon pun. Saya pernah tanya dia kalau jumpa nanti tiba-tiba saya bukan seperti gambar di facebook, macam mana? Suami cakap dia terima saya seadanya.

PERTEMUAN KALI PERTAMA

Kami berjumpa kali pertama kerana hendak kongsi perisian antivirus komputer. Bukannya semata-mata nak berdating. Masa ni suami masuk UUM. Dia ada beri nombor telefon tapi tak pernah pun berhubung. Memang kami bersetuju untuk berhubung melalui telefon jika ada perkara penting sahaja. Ada kawan yang kata hubungan kami berdua membosankan. Tapi saya tak pernah ambil peduli kata-kata begitu.

NAK BERCINTA? JUMPA WALI SAYA DULU

Boleh saya katakan kami mulai bercinta pada 31 Oktober 2011. Itupun selepas dia bersetuju untuk berjumpa keluarga saya terlebih dahulu. Barulah saya yakin bahawa dia serius dengan hubungan ini. Sepanjang kami bercinta, saya atau dia tidak pernah nak ambil kesempatan. Misalnya nak minta top up telefon ke, beli hadiah ke. Tidak sama sekali.

Dia juga bawa saya berjumpa dengan keluarganya. Tujuannya supaya keluarga merestui hubungan kami. Bagi saya dengan membawa bakal suami bertemu dengan keluarga, mak ayah boleh menilai si dia dari segi adab percakapannya. Bagi saya, jika mak ayah kata OK, saya pun OK.

Akhirnya selepas tamat pengajian, kami bertunang dan bernikah pada 12 Disember 2014. Kami tidak dating sesuka hati kerana menjaga nama baik keluarga masing-masing. Bagi saya bercinta selepas nikah lebih membahagiakan. Urusan perkahwinan pun berjalan lancar kerana hubungan kami direstui keluarga.

5 TIP CARI JODOH DI INTERNET
1) Jangan terburu-buru nak bercinta tanpa selidik latar belakang orang itu. Takut ditipu.
2) Kena bawa si dia berjumpa dengan ibu bapa dulu supaya mereka kenal dengan siapa kita sedang berkawan. Kalau dia jujur, mesti dia OK untuk jumpa emak ayah kita.
3) Jangan pertaruhkan perhubungan dengan wang ringgit. Hubungan yang bersulamkan duit, selalunya tidak kekal dan pasti ada yang terselindung. Sebab itu ramai yang tertipu kerana sebelah pihak ambil kesempatan.
4) Jika dia jujur cari jodoh di internet, dia tidak akan menipu. Letak gambar edit bukan main untuk menarik perhatian orang. Kononnya tampan, cantik jelita. Sedangkan itu semua edit.
5) Letak sedikit rasa waswas anda terhadap si dia yang menghulur cinta. Bimbang jika terlalu percaya, anda pula yang terpedaya.

Komen anda