Bercinta Selepas Nikah berpeluang menemu bual Chef Eksekutif Shinsegae Mamee, Chef Faizul Hazley mengenai isu memasak dalam kalangan isteri. Mengakui bahawa kemahiran memasak sememangnya penting dalam rumahtangga namun ianya bukanlah faktor utama untuk memupuk kebahagiaan. Chef Faizul turut berkongsi tip memasak untuk pikat suami.

Jom kita ikuti apa kata Chef Faizul.

Sebagai seorang lelaki, memang kita suka kalau isteri pandai memasak. Suami kerja pada siang hari dan makan pun  di luar. Jadi apabila pulang ke rumah, suka nak makan masakan isteri. Jadi, mempunyai isteri yang boleh memasak dengan sedap itu ialah satu kelebihan.

Pun begitu, isteri pandai masak atau tak pandai masak bukanlah penentu kebahagiaan dalam rumahtangga. Kebahagiaan dalam rumahtangga terletak kepada kebijaksanaan suami isteri berpegang pada tanggungjawab.

Pada hari ini ramai isteri yang turut bekerja. Jika suami dan isteri sama-sama bekerja, kena pandai bahagi masa. Misalnya hari ini isteri masak, esok suami pula masak. Guna konsep bergilir-gilir.

Bagi saya, tidak perlu suami isteri masak yang susah-susah pun. Masakan ringkas misalnya telur masak kicap pun sudah enak dinikmati bersama-sama. Jangan jadikan isu pandai masak atau tak pandai masak sebagai alasan untuk tidak bahagia. Apa yang penting ialah rajin masak. Jangan malas.

Pada hari ini, ada banyak cara untuk belajar memasak bagi tingkatkan kemahiran. Rajin-rajinlah buka internet dan cari resipi untuk belajar. Selain daripada belajar dengan orang, internet juga sumber ilmu.

Memasak ialah pengalaman atau praktikal. Nak pandai, kena cuba masak. Jangan malas. Kalau tak pandai masak, tapi anda rajin masuk dapur, insya-ALLAH lama-lama pandai masak.

3 TIP MASAK UNTUK PIKAT SUAMI DARIPADA CHEF FAIZUL
1) Kena ada minat memasak untuk suami. Ambil tahu apa masakan kegemaran suami.
2) Kena ada kesungguhan. Misalnya kalau tak tahu masak hidangan kegemaran suami, kenalah tanya pada ibunya atau cari di internet.
3) Kena masak dengan rela hati atau ikhlas. Jangan rasa terpaksa. Orang kata, masak dengan kasih sayang. Lauk simple pun jadi sedap!

Komen anda